Meriahnya sambutan Deepavali keluarga Siti Nur Taqifah

Meriahnya sambutan Deepavali keluarga Siti Nur Taqifah

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kajang: Perbezaan agama tidak menghalang Siti Nur Taqifah Mala Abdullah meraikan perayaan Deepavali bersama ahli keluarga tersayang setiap tahun sejak 27 tahun lalu.

Siti Nur Taqifah Mala, 48, berkata, sudah menjadi rutin tahunannya dan suami, Asmadi Abdul Kadir, 47, bersama tiga anak mereka menyambut perayaan besar masyarakat India itu bersama keluarganya.

Menurutnya, malah lebih mengujakan keluarga suami juga akan bersama menziarahi keluarganya di rumah ibu bapa di Jalan Reko, di sini, sejak dia dan suami berkahwin pada 1997.

“Setiap tahun kami akan bersama keluarga besar saya untuk meraikan Deepavali. Walaupun saya memilih menukar agama tetapi hubungan kami tetap baik, malah keluarga saya dan keluarga mentua juga baik serta saling menerima.

“Keluarga mentua juga akan meraikan perayaan itu bersama dan ibu mentua saya akan membawa rendang untuk dimakan bersama,” katanya yang beraya di rumah keluarganya di sini, hari ini.

Katanya, dia gembira dapat meraikan perayaan itu bersama ibu bapa, M Soronoe, 75, dan S Subramaniam, 76, yang tidak pernah membuang dirinya, malah menerima keputusannya memeluk Islam ketika berusia 20 tahun pada 1996.

“Setiap tahun saya membuat persiapan seperti menyediakan pakaian dan tahun ini suami serta anak lelaki memakai kurta, manakala anak perempuan memakai sari serta baju punjabi dan saya juga memakai baju punjabi yang dibelikan kakak.

“Saya turut memasak pelbagai menu untuk dibawa ke rumah keluarga kerana kami mengamalkan konsep ‘potluck’. Hari ini suami memasak lima lauk seperti udang galah masak lemak, telur kurma, ayam masak masam manis dan tauhu sambal.

“Di rumah keluarga pula ada menu wajib seperti tosei, idli, nasi beriyani, kari ayam dan kambing, sayur campur serta manisan tradisi masyarakat India iaitu ‘lado’ selain muruku serta aneka makanan lain,” katanya.

Penjawat awam itu berkata, masakan dimasak dan dibawa adik-beradiknya di rumah keluarga adalah daripada sumber halal kerana kebanyakan tetamu yang hadir adalah Muslim.

“Biasanya saya akan ke rumah keluarga sehari sebelum hari raya untuk membantu keluarga mengemas rumah dan memasak sebelum pulang ke rumah untuk memasak menu saya pula.

“Saya akan ke rumah keluarga selepas ahli keluarga pulang dari kuil untuk upacara keagamaan kemudian kami akan makan serta meluangkan masa bersama,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top