mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua lagi individu termasuk pengerusi syarikat warga asing yang ditawarkan projek pembelian baja padi oleh sebuah pertubuhan pertanian.
Perintah reman selama lima hari sehingga 4 November dikeluarkan Pendaftar Syahrul Sazly Md Sain selepas menerima permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki yang berusia lingkungan 40 hingga 50-an itu ditahan ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, lewat petang semalam.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek utama yang juga pengurus bagi bahagian promosi dan pemasaran pertubuhan itu telah menerima sebut harga daripada wakil syarikat yang terlibat untuk mendapatkan kelulusan daripada pengerusi pertubuhan.
“Pengerusi pertubuhan telah memberi kelulusan untuk melantik syarikat asing terbabit tanpa perbandingan harga ataupun melalui Lembaga Pengarah.
“Kontrak pembekalan baja bernilai kira-kira RM60 juta secara runding terus telah dibuat dalam tempoh enam hari sahaja pada Jun 2022, sedangkan syarikat asing itu tidak pernah mendapat apa-apa kerja daripada pertubuhan terbabit sebelum ini,” kata sumber.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan tangkapan terbabit dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(a)Akta SPRM 2009.
“Sehingga hari ini seramai tiga individu sudah ditahan termasuk seorang eksekutif pemasaran syarikat yang direman semalam sehingga 2 November ini,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan SPRM membongkar kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan yang di bawah kawalan kementerian yang dianggarkan bernilai RM1.8 bilion.
© New Straits Times Press (M) Bhd




