Lebih 8,950 pokok hutan ditanam di Cameron Highlands

Lebih 8,950 pokok hutan ditanam di Cameron Highlands

am@hmetro.com.my

Cameron Highlands: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands menanam lebih 8,950 pokok hutan di kawasan hutan simpan yang diceroboh di daerah ini dalam tempoh sepuluh bulan tahun ini.

Setiap kali selepas melakukan operasi tebas membabitkan kawasan yang diteroka secara haram, aktiviti menanam pokok hutan akan dilakukan dengan kerjasama Pejabat Silvikutur Negeri Zon Pahang Barat, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Pegawai Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands, Arifhadi Johari Affandi berkata, bulan lalu sebanyak 2,300 pokok hutan ditanam ketika operasi pemusnahan bersepadu dilakukan membabitkan Hutan Simpan Mentigi dan Hutan Simpan Bertam.

Katanya, terbaharu aktiviti menanam sebanyak 2,000 pokok hutan membabitkan spesies Meranti Bukit, Meranti Tembaga, Merbau dan Araucaria dilakukan kelmarin membabitkan kawasan Hutan Simpan Sungai Ichat dan Hutan Simpan Batu Gangan seluas 2.85 hektar.

Menurutnya, selepas kerja penanaman dilakukan, mereka akan membuat pemantauan dan tinjauan bagi memastikan semua pokok ditanam hidup serta melakukan kerja menyulam bagi menggantikan pokok mati.

“Dari semasa ke semasa kita mengadakan program restorasi di Cameron Highlands terutama membabitkan kawasan diceroboh yang sebelum ini dijadikan kebun sayur secara haram. Selepas operasi musnah dilakukan kita akan hijaukan semula kawasan terbabit.

“Menjadi tanggungjawab kita selepas pemusnahan kebun haram dilakukan usaha memulihkan semula kawasan ceroboh terbabit dengan menanam beberapa jenis tanaman sesuai di tanah tinggi segera dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap Sempena Kempen Penghijauan Malaysia pemulihan semula kawasan teroka Hutan Simpan Subgai Ichat dan Hutan Simpan Batu Gangan yang disempurnakan Penolong Pegawai Daerah Cameron Highlands, Siti Rothemanizan Otheman, di sini kelmarin.

Program penanaman secara gotong-royong itu disertai kira-kira 160 peserta terdiri daripada kakitangan 17 jabatan dan agensi.

Arifhadi berkata, program penanaman semula kawasan ceroboh sebagai langkah mengembalikan keseimbangan alam semula jadi dalam memastikan kesinambungan sumber berharga di daerah ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top