hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tindakan pantas anggota polis meringankan beban dihadapi tiga wanita bersama seorang bayi berusia 15 hari selepas kereta dinaiki mereka mengalami masalah di Plaza Tol Bukit Kiara, di sini.
Tindakan itu dilakukan dua anggota unit kereta peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields iaitu Koperal Mohd Zahier Fareez Mohamed Zainuddin, 34, dan rakan setugas, Lans Koperal Mohd Asri Abdullah ketika melakukan penugasan rondaan di kawasan berkenaan.
Mohd Zahier Fareez berkata, ketika kejadian dia dan Mohd Asri melakukan rondaan pada 10.05 malam sebelum melihat sebuah Proton Waja berhenti di plaza tol berkenaan dengan bahagian enjinnya dilihat berasap.
Menurutnya, rakan membantu menolak kereta berkenaan bersama seorang pengawal keselamatan dan salah seorang wanita terbabit sementara dia memandu kenderaan polis dan mengiringi daripada belakang untuk kawalan keselamatan.
Katanya, kenderaan berkenaan ditolak sejauh kira-kira 50 meter sehingga ke sebuah stesen minyak berhampiran dan meminta seorang wanita berpantang dan bayinya duduk di dalam kenderaan polis supaya lebih selesa.
“Kami dimaklumkan kereta mereka tiba-tiba berhenti di laluan itu dan ketiga-ketiga wanita itu adalah adik-beradik berusia antara 30 hingga 40-an serta dalam perjalanan dari Kampung Baru ke rumah ibu saudara di Subang.
“Kami sempat melihat keadaan enjin kereta dan menunggu kira-kira 30 minit bersama mereka sementara enjin kereta itu sejuk sebelum membantu menambah air,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Katanya, sebaik saja kereta berkenaan dapat dihidupkan semula, ketiga-tiga wanita bersama bayi itu meneruskan perjalanan dan mengucapkan terima kasih kepada mereka.
“Kami kemudian meneruskan tugas rondaan dan sebagai anggota polis kami sentiasa bersedia membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

