Saya tidak pasti berapa lama sebagai jurulatih sementara – Mat Saiful

Saya tidak pasti berapa lama sebagai jurulatih sementara – Mat Saiful

sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: “Saya tidak pasti berapa lama saya dilantik sebagai pemangku ketua jurulatih,” kata penolong ketua jurulatih Penang FC, Mat Saiful Mohamad.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas tamat perlawanan Liga Super berdepan tuan rumah, Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi yang memihak pasukan lawan 1-0 hasil jaringan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili.

Terdahulu Mat Saiful mengambil alih tugas pengendali sementara skuad Harimau Kumbang itu daripada ketua jurulatih, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang sah ‘diturunkan pangkat’ susulan kemerosotan prestasi pasukan.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan segala keputusan berkaitan kejurulatihan diserahkan kepada pihak pengurusan untuk menentukan hala tuju pasukan.

“Mungkin kita boleh merujuk kepada pihak pengurusan berkaitan ketua jurulatih Penang FC, selagi pihak pengurusan tidak mendapat jurulatih baharu, saya akan mengambil tugasan ini buat sementara, tapi saya tidak pasti sampai bila,” ujar Mat Saiful selepas tamat perlawanan malam tadi.

Mengulas perlawanan menentang TFC, Mat Saiful akui sudah ada peningkatan yang diperagakan anak buahnya selepas kecundang 0-4 di tangan Sabah FC pada aksi terakhir minggu lalu di tempat sendiri.

“Saya harus memberikan pujian kepada pemain yang memberikan komitmen yang tinggi, mereka berjaya melaksanakan tugas dengan baik sebagaimana taktikal yang dirancang.

“Beberapa aspek juga sudah nampak peningkatan berbanding sebelum ini, cuma belum tiba masanya lagi kita mendapat tiga mata kerana kita tahu pasukan TFC pasti mendominasi permainan.

“Tahniah buat semua pemain terutama pertahanan dan penjaga gol yang berjaya mengekang lawan daripada terus dibolosi gol, namun saya harapkan selepas ini tiada lagi kesilapan yang dilakukan pemain,” katanya.

Berdasarkan kedudukan terkini liga, skuad Harimau Kumbang itu kini menghuni di tangga sebelas dengan mengutip 11 mata hasil 14 perlawanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top