anbia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Kami tidak lagi memerlukan makanan dan minuman kerana kami akan dibunuh tidak lama lagi. Sila hantar kain kafan untuk menutup mayat kami supaya anda tidak merasa jijik dengan darah dan luka kami,” itu antara kata-kata menyayat hati dikongsi salah seorang penduduk Palestin, Dawud Ghassan, 40, yang menetap di Beit Lahia, utara di Semenanjung Gaza,
Menurutnya, serangan berterusan tentera Israel memasuki hari yang ke-393 semalam, mengakibatkan 43,259 kematian terhadap rakyat Palestin selain 101,827 individu mengalami kecederaan.
Majoriti mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.
“Cuaca di Gaza kini semakin sejuk susulan kedatangan musim dingin bermula November setiap tahun. Selimut amat diperlukan namun ia kini digunakan untuk menutup mayat rakyat Palestin yang terbunuh.
“Ini kerana rata-rata hospital di Gaza sudah kehabisan kain kafan. Malah selimut turut digunakan bagi menggantikan kain kafan ketika mengebumikan jenazah mangsa,” katanya.
Menurutnya, penderitaan dialami jutaan rakyat Palestin di Gaza tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
“Kami masih terperangkap dalam serangan peluru kereta kebal Merkava dan roket pesawat perang serta dron milik Angkatan Pertahanan Israel (IDF).
“Anak-anak kecil dihambat kelaparan dan kami seolah-olah dibunuh perlahan-lahan. Tanpa bantuan kemanusiaan membabitkan bekalan makanan dan air bersih, kami hanya menunggu mati.
“Tiada air untuk menghilangkan dahaga kanak-kanak, tiada makanan untuk menghilangkan rasa lapar mereka. Impian untuk terus hidup kian pudar setiap saat,” katanya.
Menurutnya, penduduk Palestin di Gaza akan terus bertahan tanpa meninggalkan tanah air itu biarpun kematian menyelubungi mereka.
“Maruah kami terlalu besar untuk dipijak Zionis. Kami akan terus tabah dan percaya pada takdir Tuhan.
“Ketika ini tentera Israel semakin aktif melakukan pembunuhan bersasar dengan menjadikan anak-anak muda serta remaja Palestin di Bait Lahia sebagai fokus. Ini adalah sebahagian daripada rancangan lebih luas untuk mengurangkan populasi penduduk Palestin di kawasan ini.
“Tindakan ini juga dipercayai sebahagian daripada strategi bertujuan membersihkan wilayah ini dengan menimbulkan ketakutan dan huru-hara di kalangan orang awam,” katanya.
Menurutnya, taktik tentera Zionis yang kejam termasuklah serangan udara, tembakan dan serangan darat yang memusnahkan rumah, infrastruktur dan sumber perubatan.
“Zionis sengaja menyeksa rakyat Palestin selain cuba menghakis daya tahan kami yang terpaksa hidup berpindah randah.
“Keganasan dan pembunuhan tanpa henti ini menyebabkan kami terpaksa melarikan diri dan melalui hidup amat suram. Ini adalah krisis kemanusiaan terburuk di dunia namun dibisukan oleh komuniti antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, sikap bacul tentera Zionis terbukti apabila mereka menjadikan anggota Perkhidmatan Pertahanan Awam dan petugas perubatan sekitar Hospital Indonesia di kawasan Beit Lahia sebagai sasaran.
“Mereka mengugut akan menyerang ambulans jika didapati bergerak di jalanan,” katanya.
Sementara itu Israel melakukan tiga pembunuhan beramai-ramai terhadap keluarga Palestin di Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam lalu, mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya 55 rakyat Palestin dan mencederakan 186 yang lain.
Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA) melaporkan, perkhidmatan kecemasan masih tidak dapat membantu ramai mangsa yang cedera dan mengambil mayat yang terperangkap di bawah runtuhan atau bergelimpangan di jalan raya merentasi kawasan yang dilanda perang.
Ini berikutan tentera Israel terus menghalang pergerakan ambulans dan anggota Perkhidmatan Pertahanan Awam.
Pembunuhan beramai-ramai oleh Israel berterusan tanpa henti walaupun terdapat gesaan daripada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk gencatan senjata segera dan arahan daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang menggesa langkah pencegahan pembunuhan beramai-ramai dan mengurangkan situasi kemanusiaan yang meruncing di Gaza.
© New Straits Times Press (M) Bhd




