nfazlina@nstp.com.my
Tumpat: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 216,000 biji dipercayai pil yaba di Kampung Laut, di sini, malam kelmarin.
Rampasan dilakukan Batalion 8 PGA itu selepas melihat dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di tepi sungai, jam 10 malam, menerusi Op Taring Sky.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, sebaik pihaknya tiba, dua lelaki berkenaan terus melarikan diri dan meninggalkan beberapa kotak.
Katanya, pemeriksaan mendapati, terdapat 216,000 biji atau 25 kilogram (kg) pil yaba dalam kotak berkenaan dengan anggaran nilai RM3.24 juta.
“Bekalan dadah terbabit dipercayai baru diseludup dari Thailand,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan barang rampasan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat untuk tindakan selanjutnya.
Dalam serbuan berasingan lain di pangkalan haram Pok Dik Jeram Perdah di Rantau Panjang, Nik Ros Azhan berkata, pihaknya merampas 384 botol pelbagai jenis kosmetik yang dipercayai diseludup dari Thailand.
Katanya, rampasan jam 7.30 malam oleh Batalion 7 PGA itu membabitkan nilai rampasan RM76,800.
“Kes disiasat mengikut 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




