am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Kewujudan tiga lokasi kerap berlaku kemalangan di Jalan Masjid Tanah-Lubuk China berdekatan Kampung Paya Rumput dan Kampung Lekok, di sini, mengundang resah penduduk dan pengguna jalan raya.
Kekurangan tanda isyarat, papan tanda arah dan lampu jalan terlindung oleh pokok merimbun di bahu jalan dikatakan antara punca kemalangan kerap berlaku di kawasan berkenaan terutama pada waktu malam atau hujan, selain faktor kecuaian pemandu.
Penduduk, Mustapha Kamal, 62, berkata, laluan itu adalah jalan utama penduduk untuk ke pusat bandar Masjid Tanah, Alor Gajah, Sungai Udang dan bandar Melaka selain ke Lubok China.
Ujarnya, pihak berwajib perlu mengambil tindakan segera termasuk memasang lebih banyak tanda isyarat, papan tanda arah dan menebang pokok yang menghalang pandangan pengguna jalan raya.
“Saya perhatikan jalan di sini kurang dipasang tanda isyarat anak panah pemantul cahaya di selekoh bagi panduan dan amaran kepada pemandu… ini yang boleh mengundang kemalangan.
“Sesuatu perlu dilakukan oleh pihak berwajib bagi mengelak lebih ramai pengguna jalan menjadi mangsa kemalangan,” katanya yang juga peniaga makanan.
Penduduk, Mohd Shafik Zainol Abidin, 34, yang setiap hari berulang-alik ke tempat kerja menggunakan laluan berkenaan turut berharap pihak berwajib memandang serius hal itu.
Katanya, jalan berselekoh di laluan berkenaan boleh dianggap perangkap maut kerana kerap berlakunya kemalangan membabitkan motosikal dan kenderaan.
“Saya berharap wakil rakyat kawasan ini dan pihak Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dapat mengambil tindakan segera untuk kebaikan bersama. Apakah kita nak menunggu lebih ramai pengguna jadi mangsa?
“Seeloknya lebih banyak papan tanda diletakkan bagi memberi amaran kepada pengguna jalan raya berhubung selekoh berbahaya berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) Kampung Lekok, Isa Kasim berkata, bulan lalu sahaja, tiga kemalangan berlaku di jalan itu termasuk ada kenderaan terbabas sendiri dan merempuh pokok.
“Daripada maklum balas pengguna, walaupun ada lampu jalan tetapi disebabkan terlindung oleh daun-daun pokok menyebabkan suasana jalan suram dan menghalang pandangan.
“Keadaan ini berbahaya bagi kenderaan dari arah Lubuk China yang menuruni jalan berselekoh ini jika berselisih dengan kenderaan dari arah bandar Masjid Tanah yang ‘makan jalan’ dan tidak nampak kenderaan di hadapan.
“Jadi saya harap pokok-pokok dan semak yang menghalang ini dapat ditebang dan dikemaskan bagi mengelakkan lebih banyak pengguna kehilangan insan tersayang dan penyumbang kepada kemalangan maut,” katanya.
Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




