
MOSCOW: Rusia akan melancarkan dua satelit Iran ke orbit menggunakan pelancar Soyuz pada esok, Selasa (5 Nov), ketika kedua-dua negara yang disekat Amerika Syarikat itu memperdalamkan lagi hubungan saintifik mereka.
Duta Iran ke Moscow, Kazem Jalali dalam kenyataannya pada hari ini, Isnin (4 Nov) dalam platform X berkata, ia adalah sebagai meneruskan pembangunan kerjasama saintifik dan teknologi Iran-Rusia, lapor Al Arabiya.
“Dua satelit Iran – Kowsar dan Hodhod itu akan dilancarkan ke orbit bumi sejauh 500 kilometer pada hari Selasa, 5 November 2024, dengan kenderaan pelancar Soyuz,” tulis Jalali.
Pembangunan Kowsar, satelit pengimejan resolusi tinggi, dan Hodhod, satelit komunikasi kecil, adalah usaha besar pertama oleh sektor angkasa lepas persendirian Iran, laporan agensi berita separuh rasmi Iran, Tasnim pada bulan lepas.
Terdahulu, Rusia telah melancarkan satelit penderia penyelidikan Iran, Pars 1 ke angkasa pada Februari 2024 menggunakan roket Soyuz dari Vostochny Cosmodrome. -Agensi/– HARAKAHDAILY 4/11/2024








