am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Pemantauan kualiti air sungai berterusan selain penguatkuasaan lebih tegas, menyebabkan jumlah sungai tercemar seluruh negara berkurangan kepada 25 sungai, tahun lalu.
Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, ia berbanding 29 sungai tercemar di seluruh negara pada 2022.
Beliau berkata, jumlah sungai tercemar seluruh negara itu dijangka akan terus berkurang dengan penubuhan Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Jun lalu.
“Pengurangan jumlah sungai tercemar susulan usaha berterusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) memantau kualiti air sungai seluruh negara dan penguatkuasaan ke atas punca yang menyebabkan pencemaran berlaku.
“Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan juga sudah bermesyuarat dua kali pada Jun dan Ogos lalu dengan JAS akan memastikan usaha berterusan industri, pemaju pembangunan dan loji kumbahan supaya aktiviti dan proses pengeluaran mereka mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi interaktif Ketua Pengarah Alam Sekitar bersama pemenang Anugerah Sekolah Lestari, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah JAS Johor, Dr Mohd Famey Yusoff.
Jun lalu, sebanyak 25 daripada 672 sungai di negara ini dilaporkan berada dalam kategori tercemar, kata Fadillah.
Timbalan Perdana Menteri dilaporkan berkata, sungai tercemar itu dikesan di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Sarawak membabitkan pengkelasan kualiti air sungai (IKA) kelas tiga dan empat.
Antara punca pencemaran adalah kerana industri, loji kumbahan, perbandaran, pertanian, perumahan dan penternakan.
</div
© New Straits Times Press (M) Bhd




