TNB peruntuk RM950,000 bantu keluarga berpendapatan rendah

TNB peruntuk RM950,000 bantu keluarga berpendapatan rendah

bhnews@bh.com.my

KANGAR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan RM950,000 menerusi Projek Baiti Jannati dan Projek Mesra Rakyat bagi membantu 19 keluarga berpendapatan rendah (B40) di negeri ini.

Bantuan yang diberikan itu adalah menerusi sumbangan kediaman baharu yang dibina atas inisiatif TNB dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, dua daripada 19 keluarga yang menerima manfaat daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) organisasi itu adalah keluarga bukan Islam.

“Pada masa sama, penyerahan kediaman baharu kepada 17 keluarga beragama Islam diharapkan memberi kegembiraan kepada mereka menjelang sambutan Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Malah saya yakin bantuan ini mengurangkan beban penerima dan keluarga mereka terutama dalam menjalani ibadah puasa nanti,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Baiti Jannati dan Projek Mesra Rakyat TNB Peringkat Negeri Perlis dan Penyampaian Zakat Perniagaan TNB Perlis 2019 di sebuah hotel, di sini hari ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang DiPertua MAIPs turut berkenan berangkat ke majlis itu dan menyampaikan sumbangan berkenaan kepada semua penerima program berkenaan.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis yang juga Ahli Majlis MAIPs, Azman Mohd Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Mahdzir berkata, TNB juga berharap pemilikan rumah berkenaan dapat menjadikan penerima lebih gembira dan bahagian apabila memiliki kediaman sendiri dalam usaha TNB menjadikan kehidupan rakyat ‘Better dan Brighter’.

“Sumbangan yang diberikan turut diperluaskan kepada golongan berpendapatan rendah bukan Islam dimana dua keluarga bukan Islam turut menerima manfaat menerusi Projek Mesra Rakyat.

“Kita sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap masyarakat setempat terutama susulan pandemik Covid-19 yang banyak memberi kesan kepada rakyat,” katanya.

Pada majlis berkenaan juga, TNB turut menyerahkan zakat perniagaan TNB Perlis berjumlah RM309,340.11 kepada MAIPs.

Sejak Program Baiti Jannati dilaksanakan di Perlis pada 2008, TNB sudah menyalurkan bantuan berjumlah RM2.16 juta membabitkan pembaikan dan pembinaan 47 buah kediaman manakala sebanyak RM520,000 untuk pembaikan dan pembinaan kediaman di bawah Projek Mesra Rakyat kepada 16 penerima di negeri itu sejak 2013.

Sementara itu, seorang pemandu bas, Hayazi Zakaria, 46, dia tidak menyangka permohonannya untuk mendapatkan rumah baharu yang selesa menjadi kenyataan.

“Rumah saya sebelum ini mengalami pelbagai masalah dengan atap bocor serta dinding rumah mulai dimakan anai-anai. Namun, permohonan saya akhirnya diluluskan MAIPs dan berjaya disiapkan dengan dibantu oleh TNB,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top