sukan@hmetro.com.my
Alor Setar : Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM) muncul juara pada saingan Kejuaraan Silat Terbuka Kebangsaan dan Jemputan Antarabangsa 2024 Piala Datuk Zuraidi Rahim, Harimau Chula Sakti yang bermula sejak 31 Oktober hingga 4 November 2024 di Stadium Sultan Abdul Halim.
Kejohanan yang disertai 2,000 peserta silat tempatan termasuk antarabangsa ini juga acara julung kali diadakan secara besar-besaran dalam arena persilatan dan dianjurkan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Pesaka Kedah serta Pertubuhan Silat Pusaka Gayong Malaysia.
Sebagai juara keseluruhan pasukan dalam kejohanan ini, Pusaka Gayong berjaya meraih 43 pingat melalui 18 pingat emas, 11 (perak) dan 14 (gangsa) dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000.
Manakala di tempat kedua selaku naib juara pula disandang Kelab Silat Sriwira Malaysia dengan pencapaian tiga pingat emas, empat perak dan sembilan gangsa, diikuti tempat ketiga milik Zura Akademi Fighter (ZAF) tiga pingat emas, empat perak dan empat 4 gangsa.
Penaung Pesaka Kedah, Zuraidi berkata, penganjuran yang dicetuskan pada tahun ini adalah untuk menggilap anak-anak kecil bermula lima tahun hingga ke peringkat yang melayakkan mereka ke peringkat lebih jauh seperti Sukan Malaysia (Sukma) pada tahun 2026.
Katanya, penganjuran ini adalah satu impak besar dalam dunia silat tempatan selepas 23 tahun, yang mana tidak pernah berlaku sebelum ini dalam skala besar demi memartabatkan dunia persilatan yang diwarisi di negara ini.
“Dalam perkembangan selama lima hari penganjuran kejohanan ini saya amat bersyukur kerana nampak hasil bakat baharu seawal lima tahun hingga ke peringkat remaja dan pelapis Sukma terdiri dari 17 hingga 19 tahun yang berkebolehan dan boleh melakukan transformasi bagi mewakili peringkat negeri Kedah, kebangsaan dan juga antarabangsa.
“Dengan sokongan yang diterima ini saya berhasrat untuk menjadikan kejohanan ini sebagai acara tahunan dengan skala yang lebih besar serta bermakna untuk anak-anak Pesaka dalam dunia persilatan selain menarik jemputan dari Eropah untuk tampil ke Kedah bersama Pesaka Malaysia dan sebagai tuan rumah pada acara tahun depan.
“Dengan skala lebih besar itu juga kejohanan ini akan menjadi siulan kepada seluruh dunia persilatan di peringkat antarabangsa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



