hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Warga baharu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus menikmati skim persaraan meskipun kerajaan memperkenalkan skim baharu pencen perkhidmatan awam, Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, skim baharu pencen perkhidmatan awam yang diperkenalkan kerajaan bermula tahun depan itu tidak akan membabitkan ATM.
“Seperti diumumkan permulaan tahun depan apabila kakitangan (awam) baharu diambil tidak lagi ada pencen, tetapi ia tidak terpakai kepada mereka yang menyertai ATM.
“Begitu juga kelebihan mereka yang berkhidmat dalam ATM. Bagi yang bekerja dengan kerajaan apabila mereka bersara, mereka tidak ada jabatan untuk jaga mereka tetapi untuk angkatan tentera, ada Jabatan Veteran menjaganya,” katanya.
Mohamed Khaled berkata demikian pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia 2024 membabitkan 113 anak anggota ATM di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.
Majlis berkenaan adalah sebagai manifestasi penghargaan khas serta galakan untuk anak warga ATM yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Majlis itu dilaksanakan setiap tahun bermula 1991 ini adalah program inisiatif dikelolakan oleh Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF), Jabatan Arah Pendidikan (JAP) ATM dan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Yayasan LTAT sudah menyalurkan pemberian dan dermasiswa kepada lebih 14,000 ribu anak-anak warga ATM dengan peruntukan sebanyak RM 12 juta Sejak 1991.
Menurut Mohamed Khaled, ekosistem kesejahteraan anggota pertahanan akan sentiasa ditambah baik dengan mengambil kira pengorbanan dan jasa mereka dalam mempertahankan negara.
Menurutnya, ia terutama kebajikan perajurit negara termasuk daripada aspek perumahan dan pendidikan anak warga ATM.
Malah, beliau berkata, pihaknya bukan sahaja memberi perhatian kepada keselesaan penempatan warganya tetapi keharmonian hidup warga ATM termasuk anggota keluarga yang merangkumi aspek pembangunan diri dan akademik anak warga ATM.
Katanya, antara usaha dilakukan adalah program tuisyen dalam talian secara percuma kepada semua calon SPM dalam kalangan anak ATM yang dijalankan bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris.
“Kini saya sedang mengusahakan supaya semua calon SPM kalangan anak warga ATM dibekalkan dengan sebuah unit Chromebook secara percuma.
“Selain itu, bagi memastikan program tuisyen percuma dan pembelajaran dalam talian menggunakan Chromebook ini berjalan lancar, Kementerian Pertahanan juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Kementerian Komunikasi.
“Kita mahu menyediakan perkhidmatan wifi dan internet yang menyeluruh di kem tentera,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




