Rom: Juara bertahan Jelajah Akhir ATP, Novak Djokovic, mengumumkan bahawa dia terpaksa menarik diri daripada kejohanan penutup musim di Turin akibat kecederaan.
Ketiadaan pemain Serbia itu bermakna Casper Ruud, Alex de Minaur dan Andrey Rublev kini dijamin layak untuk beraksi dalam kejohanan berkenaan, tidak kira keputusan mereka dalam kejohanan minggu ini.
“Saya sangat menantikan untuk beraksi di sana, tetapi disebabkan kecederaan yang berterusan, saya tidak akan bermain minggu depan,” kata Djokovic, 37 tahun, dalam satu hantaran di Instagram.
“Maaf kepada semua yang merancang untuk melihat saya. Saya berharap semua pemain menjalani kejohanan yang hebat. Jumpa lagi nanti!”
De Minaur, yang sebelum ini berdepan dengan kebimbangan untuk melayakkan diri selepas kalah kepada Holger Rune di suku akhir Masters Paris minggu lalu, kini akan membuat penampilan sulungnya di kejohanan berprestij itu, yang dianggap sebagai permata dalam kalendar ATP.
Dia akan berganding dengan pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner, juara dua kali Alexander Zverev, pemenang empat kali Grand Slam Carlos Alcaraz, bekas juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Daniil Medvedev, dan Taylor Fritz dari AS.
Jelajah Akhir ATP 2024 akan diadakan di Arena Inalpi di Turin dengan jumlah hadiah wang keseluruhan sebanyak AS$15.25 juta (RM79 juta), termasuk AS$4.88 juta (RM25.60 juta) untuk juara perseorangan tanpa kalah.
Selain itu, lapan pasangan beregu terbaik musim ini juga akan bersaing di Turin.
Djokovic, yang kini berada di kedudukan nombor lima dunia, memenangi gelaran ketujuh di kejohanan ini tahun lalu, menewaskan harapan tuan rumah Sinner di final.
Namun, dia tidak menambah koleksi Grand Slam tahun ini dan gagal meraih sebarang gelaran ATP, walaupun meraih emas Olimpik pertamanya selepas menewaskan Carlos Alcaraz dari Sepanyol di Paris.
© New Straits Times Press (M) Bhd




