Gagal Tahan sebak, Anak Sulung Fatin Afeefa Bakal Jadi Hafiz Al-Quran 

Gagal Tahan sebak, Anak Sulung Fatin Afeefa Bakal Jadi Hafiz Al-Quran 

Pelakon Fatin Afeefa bersama suaminya, Aliff Awang atau lebih dikenali sebagai Opai kelihatan gagal menahan sebak apabila menghantar anak sulung mereka, Adam Aisy Arrian ke sekolah pendidikan agama untuk menghafaz dan mendalami ilmu al-Quran.

Menerusi perkongsian sepotong video pendek yang dikongsikan di platform TikTok, pasangan itu tidak dapat menahan sebak ketika anak lelakinya membacakan ikrar lafaz janji di hadapan kedua ibu bapanya.

Dalam ikrar yang dibacakan, Adam berjanji akan berusaha untuk menghabiskan hafalannya dalam tempoh satu tahun dan berharap perjalanannya untuk menjadi seorang hafiz dipermudahkan.

“Ia adalah tangisan penuh makna, lahir dari lubuk hati seorang ibu dan ayah di dunia realiti saat menghantar anak mereka ke tahfiz.

“Perjuangan bermula, beruntunglah ibu bapanya dikurniakan anak yang berada di jalan menghafaz al-Quran.

“Tahniah Puan Fatin Afeefa dan suami kerana telah memilih untuk berada dalam perjuangan ini bersama anak. Moga Allah permudahkan langkah mereka,” tulis pada kapsyen berkenaan.

Menjengah ke ruangan balas, rata-rata waragnet terharu dan memuji pasangan tersebut.

Bahkan, ramai yang menyifatkan Opai sebagai ayah tiri yang baik selain berjaya menjalankan tanggung jawabnya membimbing keluarga kecilnya.

Setakat artikel ini ditulis, video berdurasi lebih satu minit itu telahpun menerima lebih 800,000 tontonan dan menerima lebih 80,000 tanda suka sejak ia dimuat  naik.

Sekadar info, Adam Aisy Arrian adalah anak hasil perkahwinan pertama aktres itu dengan bekas suaminya, namun dia mengambil keputusan untuk tidak mendedahkan secara terperinci mengenai perkahwinannya itu kepada umum.

Dan, pada 21 Disember 2013, Fatin mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Adam Shahz dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu,  Ivy Herra Sophia sebelum kedua-dua pasangan ini memfailkan perceraian pada 30 Mei 2017.

Fatin bagaimanapun bertemu Aliff Awang dan mendirikan rumah tangga pada Disember 2022 dalam sebuah majlis yang diadakan secara tertutup

Hasil perkahwinan ketiganya itu, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang kini berusia tujuh bulan.

Scroll to Top