London: Mercedes menolak spekulasi bahawa Grand Prix (GP) Sao Paulo adalah perlumbaan terakhir Lewis Hamilton bersama pasukan itu, susulan mesej di radio pasukan, Ahad lalu.
Juara dunia Formula Satu (F1) tujuh kali itu melalui satu lagi hujung minggu yang mengecewakan bersama Mercedes apabila hanya berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10 di Sao Paulo.
Hamilton berdepan kesukaran mengendalikan keretanya, W15 dan sekali lagi bingung dengan kurangnya kepantasan dalam setiap pusingan.
Lebih mengejutkan, Hamilton turut bergelut dalam keadaan basah, situasi yang kebiasaannya memberi kelebihan kepadanya.
Selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-10, Hamilton memberikan mesej yang pelik menerusi radio pasukan.
“Ia adalah hujung minggu yang malang. Kereta paling teruk yang pernah saya pandu. Terima kasih kerana berusaha dan tahniah kepada semua di hentian pit.
“Jika ini kali terakhir saya beraksi, amat mengecewakan kerana ia bukan yang terbaik, tetapi saya hargai usaha anda semua,” katanya.
Ungkapan “jika ini kali terakhir” oleh Hamilton mencetuskan spekulasi bahawa Brazil mungkin menjadi perlumbaan terakhirnya bersama pasukan itu.
Namun Mercedes mengesahkan kepada Sky bahawa Hamilton pasti akan beraksi dalam tiga perlumbaan terakhir di Las Vegas, Qatar dan Abu Dhabi.
Hamilton dijangka akan menamatkan kariernya bersama pasukan itu selepas perlumbaan di Litar Yas Marina sebelum menyertai Ferrari pada 2025.
© New Straits Times Press (M) Bhd




