redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Ada duit banyak orang boleh curi, tapi ilmu tak ada siapa boleh curi daripada kita, malah boleh buat kita menjadi insan lebih baik.”
Itu pegangan Datin Dr Zainol Sulaiman, 66, yang tidak menjadikan usia dan status ibu kepada lima anak dan nenek 11 cucu sebagai halangan untuk terus menuntut ilmu.
Buktinya, Zainol berhasil menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pendidikan pada 20 Julai lalu selepas menamatkan pengajian selama tiga tahun di City Universiy Malaysia (CityU), dekat sini.
Menurut Zainol, suaminya, Prof Emeritus Datuk Dr Johari Mat menjadi pendorong untuk menyambung pengajian kerana beliau berehat selama lima tahun selepas menggenggam Ijazah Sarjana.
“Suami beri galakan, tapi jika diikutkan saya berasa susah nak capai (belajar sampai PhD). Dia ingatkan jangan risau kerana cuma tiga tahun.
“Cuma, saya menetap di Kota Bharu, Kelantan dan waktu awal belajar PhD dulu negara sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi sumber rujukan hanya buku dan internet saja.
“Di sebalik kesulitan itu, saya bersyukur dengan apa diperoleh hari ini dan percaya Allah SWT akan bagi jalan walau macam mana pun selagi kita berusaha,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen CityU 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, baru-baru ini.
Berkongsi latar belakangnya, Zainol mengakui datang daripada keluarga susah menyebabkan tidak berpeluang untuk menyambung pengajian ke menara gading selepas tamat persekolahan.
“Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya kerja dulu sebagai juruwang di bank untuk cari duit kerana keluarga tak mampu, saya pula anak kedua dan ada tiga adik di bawah.
“Jadi, saya kena dulukan adik yang masih bersekolah dan hanya dapat sambung pengajian peringkat diploma pada usia 30-an kemudian ke peringkat ijazah sarjana muda dengan kesemuanya menggunakan duit sendiri.
“Syukur Allah SWT izinkan dan beri kesempatan saya belajar hingga PhD, namun nak sampai tahap ini kena ada minat serta kesungguhan juga. Jika tidak, tak ke mana walaupun ada duit,” katanya.
Berkongsi cabarannya untuk mendapatkan segulung PhD, Zainol berkata, dia tidak terikat komitmen kerana kesemua anaknya sudah besar dan hanya seorang saja belum berkahwin.
“Tak susah mengenai (keluarga) itu, cuma kena pandai urus masa kerana saya bukan hanya pengarah urusan syarikat, malah menyandang jawatan pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) Taska Melayu Malaysia.
“Jadi, saya perlu bahagikan masa antara keluarga, NGO dan syarikat kerana belajar pada hari bekerja, manakala aktiviti NGO serta urusan hal berkaitan pula kebiasaannya di hujung minggu.
“Pengajian saya berjalan lancar dengan bantuan penyelia dan penasihat akademik,” katanya yang percaya terdapat golongan seusianya menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




