7 anggota polis di Kedah positif dadah ketika berhibur didakwa

7 anggota polis di Kedah positif dadah ketika berhibur didakwa

am@hmetro.com.my

Sungai Petani: Seramai tujuh anggota polis di Kedah didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan ketika berhibur di sebuah pusat hiburan, bulan lalu.

Semua tertuduh bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret M Kalaiarasi dan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Tertuduh adalah Koperal Mohammad Muizzuddin Mohamad Taib, 29; Lans Koperal Wan Muneer Abdullah, 36; Mohd Fazly Long, 45; Sarjan Mohd Khairi Zakaria, 55; Koperal Muhammad Azri Zakariya, 35; Lans Koperal G Selva Kumar, 36; dan Lans Koperal TS Sarvindran, 28.

Mereka yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, IPD Yan dan IPD Pendang didakwa tanpa kebenaran memasukkan ke dalam badan sendiri dadah berbahaya jenis ketamine dan methylenedioxymethamphetamine (MDMA).

Semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pusat hiburan di Aman Square di sini, antara jam 4.20 pagi hingga 7.23 pagi pada 2 Oktober lalu.

Turut dituduh seorang anggota polis, Francis Nawan Johny, 35, yang didakwa memasukkan dadah jenis methamphetamine dan amphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Kuala Muda pada jam 12.25 tengah malam tarikh sama.

Berikutan itu, semua mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun dan denda tidak lebih RM5,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Preeyaa dan Nur Hazwani Md Noor.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,000 dan seorang penjamin serta perlu melapor diri di balai polis terdekat mengikut tarikh ditetapkan.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 hingga 12 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan proses serahan dokumen.

Semua tertuduh yang hadir ke mahkamah secara berasingan membayar ikat jamin dikenakan ke atas mereka di kaunter Kompleks Mahkamah Sungai Petani.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan seramai 12 pegawai dan anggota polis Kedah didapati positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Sungai Petani.

Berikutan itu, Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh diarahkan menggantung tugas semua pegawai dan anggota berkenaan mengikut Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Serbuan itu dilakukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standards (JIP) Bukit Aman susulan maklumat yang diterima.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top