mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dalam penahanan pemimpin serta 21 pengikut Global Ikhwan Sdn Bhd Holdings (GISBH) berdasarkan hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan itu dibuat berdasarkan kes itu disiasat bagi kesalahan jenayah terancang di bawah Seksyen 130B (1) Kanun Keseksaan.
“Sosma ini kita kenakan ke atas beberapa pimpinan GlSBH berdasarkan kepada siasatan di bawah Seksyen 130B (1) Kanun Keseksaan iaitu jenayah terancang.
“Ia berdasarkan pertama pelakunya lebih dua orang kedua ia membabitkan satu objektif dan di sini iaitu eksploitasi kanak-kanak dan ketiga ada elemen dari segi keuntungan material.
“Maka siasatan polis menemui semua kriteria yang melayakkan mengkategorikannya sebagai kumpulan jenayah terancang mengikut Seksyen 130B (1) Kanun Keseksaan,” katanya semasa sesi Penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 Peringkat KDN di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan dibangkitkan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN- Kalabakan), RSN Rayer (PH-Jelutong) serta William Leong Jee Keen (PH-Selayang).
Pada 23 Oktober lalu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan isterinya Datin Azura Md Yusof, 57, dan 21 pengikutnya didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020.
© New Straits Times Press (M) Bhd




