Guardiola yakin City tidak akan masuk 'gua' lagi

Guardiola yakin City tidak akan masuk 'gua' lagi

Manchester: Pengendali Manchester City Pep Guardiola, menghadapi kemungkinan pertama yang tidak diingini dalam karier pengurusannya jika pasukannya kalah untuk kali keempat berturut-turut pada pertemuan menentang Brighton & Hove Albion dalam perlawanan Liga Perdana.

City tersingkir dari Piala Liga selepas tewas kepada Tottenham Hotspur, mengalami kekalahan mengejut 2-1 di liga kepada Bournemouth, dan kemudian dibelasah 4-1 di Liga Juara-Juara oleh kelab Portugal, Sporting, yang dikendalikan oleh pengurus Manchester United yang akan datang, Ruben Amorim.

Namun, Guardiola tetap optimis bahawa City, yang ketinggalan dua mata di belakang pendahulu Liverpool dalam carta Liga Perdana, akan dapat memperbaiki prestasi mereka, dengan mengatakan bahawa mereka bermain dengan baik dalam banyak bahagian walaupun tewas pada pertemuan itu.

“Sentiasa ada kali pertama (kalah empat berturut-turut), harapnya ia tidak berlaku.

“Dua puluh minit terhadap Fulham kami tidak baik, terhadap Bournemouth kami tidak baik, tetapi selebihnya kami bermain dengan baik. Kami bagus. Kita tunggu dan lihat apa yang berlaku,” kata Guardiola kepada pemberita.

Walaupun Guardiola tidak pernah tewas empat perlawanan berturut-turut sebagai pengurus, City namun beliau pernah melalui enam perlawanan tanpa kemenangan dalam musim pertama sebagai ketua jurulatih pada 2016-2017.

Pengurus itu tidak akan memiliki Jack Grealish yang masih cedera meskipun pengurus sementara England, Lee Carsley menamakan Grealish dalam skuadnya untuk rehat antarabangsa yang akan datang.

John Stones dan Ruben Dias, yang tidak beraksi pada perlawanan tempoh hari dijangka tiada untuk pertemuan dengan Brighton.

“Tidak ada berita baik. Sama seperti di Lisbon,” kata Guardiola.

Walaupun pemain tengah City, Bernardo Silva, mengatakan pasukannya ‘dalam keadaan yang gelap’ selepas kekalahan memalukan di Portugal, Guardiola berharap anak buahnya akan bangkit pada perlawanan akan datang.

“Saya rasa tidak. Sudah tentu, kami tidak biasa kalah tiga perlawanan dalam tiga pertandingan yang berbeza, tetapi ini adalah bola sepak dan ia sudah berlaku,” kata Guardiola.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top