FashionValet: SPRM siasat kemungkinan Khazanah dan PNB diperdaya

FashionValet: SPRM siasat kemungkinan Khazanah dan PNB diperdaya

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat isu FashionValet (FV) melihat kemungkinan bahawa Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) diperdaya berhubung pelaburan mereka.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu New Straits Times bahawa siasatan meluaskan skop siasatan dan turut menyiasat sama ada wujudnya unsur penipuan.

Beliau berkata, ini berkaitan penemuan beberapa transaksi mencurigakan antara 2018 hingga 2023.

Azam bagaimanapun berkata, siasatan yang turut membabitkan isu tadbir urus korporat itu masih berjalan dan SPRM perlu mengesahkan beberapa maklumat.

Beliau berkata, ini termasuk menentukan sama ada pengasas FV, Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzaruddin Shah Anuar, bertindak mengikut undang-undang.

Berhubung pembelian 30 Maple Sdn Bhd (30 Maple) oleh FV pada tahun yang sama Khazanah dan PNB melabur dalam syarikat itu, Azam berkata pasukannya sedang meneliti butiran berkenaan.

Portal berita Scoop sebelum ini melaporkan bahawa FV membeli 30 Maple dengan harga RM95 juta pada tahun yang sama Khazanah dan PNB melabur RM47 juta dalam syarikat berkenaan.

Laporan itu juga menyatakan bahawa 30 Maple mengendalikan jenama hijab dUCK, yang diasaskan oleh Vivy.

“Kami juga sedang meneliti sama ada Khazanah dan PNB sepatutnya dimaklumkan (mengenai pembelian itu).

“Kami perlu menjalankan siasatan secara adil dan profesional. Sentimen awam adalah satu perkara, dan walaupun kita mengambil kira itu, namun kita berpandukan undang-undang serta prosedur kita,” katanya.

Dilaporkan bahawa SPRM sedang menyiasat kerugian RM43.9 juta yang dialami oleh Khazanah dan PNB akibat pelaburan mereka dalam FashionValet.

SPRM merampas 60 kotak yang mengandungi pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah, dan PNB bagi membantu siasatan.

Azam berkata, bahagian forensik perakaunan SPRM sedang menyemak semua dokumen yang dirampas.

Rabu lalu, SPRM menggeledah kediaman pasangan itu dan merampas 11 beg tangan mewah serta sebuah jam tangan mewah bernilai sekitar RM200,000.

SPRM juga membekukan beberapa akaun bank peribadi dan syarikat milik pengasas itu, dengan jumlah keseluruhan sekitar RM1.1 juta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top