Bukan hanya hilang ingatan

Bukan hanya hilang ingatan

hartini@hmetro.com.my

PENYAKIT Alzheimer ialah gangguan otak yang menjejaskan jutaan orang di seluruh dunia dan menjadi lebih ketara apabila usia populasi meningkat.

Di Malaysia, kira-kira 44,000 orang menghidap Alzheimer dan jumlah ini dijangka terus meningkat.

Menurut Pakar Saraf Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr Sherrini Bazir Ahmad, walaupun ciri-ciri kehilangan ingatan adalah aspek penuaan yang biasa, namun tanda-tanda awal Alzheimer tidak hanya melangkaui kehilangan ingatan.

“Kesan Alzheimer awal bukan sahaja pada ingatan semata-mata, tetapi juga gangguan memori, keupayaan berfikir dan perilaku.

“Perubahan ini mengganggu kehidupan seharian dan menandakan masalah fungsi otak yang lebih serius,” katanya.

Dr Sherrini turut menggesa ahli keluarga dan penjaga supaya sentiasa berwaspada terhadap tanda-tanda berkenaan.

Salah satu cabaran dalam menguruskan Alzheimer ialah membezakan gejala awal daripada penuaan biasa.

Menurut Dr Sherrini, tanda-tanda halus seperti kekeliruan yang kerap dan perubahan dalam pertuturan serta tingkah laku perlu mendorong ahli keluarga untuk mendapatkan nasihat profesional.

Pengesanan awal adalah penting untuk memperlahankan perkembangan penyakit dan melaksanakan pelan penjagaan yang berkesan.

Dr Sherrini berkata, Alzheimer adalah jenis dementia yang paling biasa terdiri daripada kira-kira 70 peratus dari semua kes.

Mendapatkan diagnosis yang tepat membantu keluarga membuat persediaan dan perancangan untuk masa depan dari segi emosi serta kewangan.

“Diagnosis awal dan tepat adalah penting untuk perancangan. Ini termasuk melantik penjaga, membuat keputusan undang-undang dan kewangan selain membincangkan pilihan penjagaan jangka panjang.

“Dementia datang dalam pelbagai bentuk. Setiap satu mungkin menunjukkan simptom atau keperluan penjagaan yang berbeza. Mengetahui jenis dementia tertentu membantu doktor menguruskannya dengan lebih berkesan,” katanya.

Pada masa ini, tiada penawar untuk penyakit Alzheimer, tetapi ubat-ubatan boleh membantu memperlahankan perkembangan penurunan kognitif.

Terapi pengubahsuaian penyakit kini tersedia terutama untuk individu yang mengalami gangguan kognitif ringan atau Alzheimer peringkat awal.

Selain ubat-ubatan, pelan penjagaan yang komprehensif juga mungkin membabitkan rujukan kepada profesional kesihatan mental.

Ini amat penting untuk menguruskan gejala tingkah laku seperti kebimbangan, kemurungan atau halusinasi, yang biasanya timbul pada peringkat akhir penyakit Alzheimer.

Pada masa sama, Dr Sherrini menegaskan bahawa Alzheimer bukan sahaja menjejaskan ingatan, ia juga memberi kesan kepada kesejahteraan emosi dan psikologi.

“Pesakit sering mengalami kemurungan, kebimbangan dan kesedihan ketika mereka bergelut dengan kehilangan kebebasan.

“Perubahan emosi ini boleh menjadikan penyakit berkenaan lebih sukar dikendalikan jika tidak ditangani dengan cara betul.

“Bagi membantu pesakit menghadapi penyakit ini, keluarga digalakkan untuk mewujudkan persekitaran yang stabil, mengekalkan rutin biasa dan membabitkan pesakit dalam aktiviti yang bermakna,” katanya.

Malah katanya, komunikasi terbuka berkenaan penyakit itu dan menerusi pembabitan profesional kesihatan mental boleh membantu perbezaan besar dalam menguruskan cabaran emosi.

Kadangkala, ubat mungkin juga diperlukan untuk membantu dengan gangguan mood atau kebimbangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top