lizamridzuan@hmetro.com.my
Peluang mengerjakan umrah baru-baru ini umpama impian menjadi kenyataan buat penulis.
Semestinya berada di Tanah Suci menjadi idaman setiap individu Muslim di seluruh dunia cuma ruang dan peluang sahaja yang membezakannya.
Kebetulan pula Media Prima Berhad (MPB) menyediakan kemudahan pakej umrah ini kepada lebih 120 pekerja yang berminat. Sekali gus menjadikan perjalanan ke Tanah Suci itu lebih lancar bersama rakan-rakan sepejabat yang lain dan keluarga.
Pelbagai perkara bermain di minda penulis berkenaan amalan ibadat di sana apakah ia sukar dan sebagainya. Namun debaran itu semakin bertambah apabila kami berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mana ia turut dihadiri Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Syed Junid sekali gus menyantuni pelepasan kami.
Rata-rata golongan lelaki mengenakan ihram penuh sebelum berlepas menaiki pesawat Saudi Airline ke Jeddah, Arab Saudi yang mengambil masa kira-kira lapan jam untuk tiba dan kami juga melafazkan niat ihram di atas pesawat sejam sebelum mendarat.
Perjalanan Umrah MPB 2024 kali ini mempunyai kisah yang tersendiri di mana sebaik tiba di Jeddah berita menyedihkan diterima pasangan ahli rombongan kami Hafizah Iszahanid dan Ku Azmi Saad apabila anak mereka terlibat dalam kemalangan dan meninggal dunia.
Agensi yang menguruskan kami, Arrayyan Travel Services turut menguruskan perjalanan pulang mereka ke tanah air dan kami yang lain meneruskan perjalanan dengan tiga buah bas ke hotel penginapan yang terletak di Makkah.
Tiba di hotel kami menyegarkan badan dan bersiap-siap untuk melakukan umrah pertama serta lokasi hotel hanyalah di depan Masjidil Haram sangat memudahkan pergerakan kami terutama yang pertama kali menjejakkan kaki ke sana.
Bersama-sama mutawif yang berpengalaman kami mula ke masjid sekitar jam 2 pagi dengan debaran, keterujaan dan kesyahduan itu bergabung di dalam satu apabila kaki memijak lantai di masjid dan seterusnya saat Kaabah mula kelihatan. Sebaik memasuki kawasan tawaf, deraian air mata tidak dapat ditahan lagi.
Perasaan terharu kerana dapat melihat kiblat umat Islam itu sudah di depan mata tidak dapat digambarkan dengan kata-kata dan sepanjang tujuh pusingan tawaf itu dipenuhi dengan doa dan rasa keinsafan dalam diri.
Semuanya berjalan dengan baik dan selesai itu kami solat sunat tawaf sebelum melakukan rukun Saie di antara bukit Safa dan Marwah dengan berulang-alik berjalan kaki sebanyak tujuh kali.
Ketika urusan Saie belum selesai, azan Subuh sudah mula berkumandang dan kami mengambil tempat melakukan solat terlebih dahulu sebelum menyambung kembali urusan Saie itu sehingga selesai rukun umrah pertama dengan baik selepas itu.
Kami berada di Makkah al-Mukarramah selama lima hari dan selain melakukan ibadat pada setiap kali masuk waktu, kesempatan yang ada juga melawat di lokasi-lokasi menarik sekitar tanah haram seperti Muzium Abubaker Alamoudi, Jabal Thur, Jabal Rahmah serta kawasan Arafah dan Mina serta melakukan Miqat di Jaaranah untuk melakukan umrah kedua.
Miqat ialah lokasi atau tempat tertentu yang menjadi titik permulaan bagi niat ihram sebelum jemaah masuk ke kawasan Tanah Haram (Makkah) untuk melakukan umrah atau haji.
Daripada segi syarat, sesiapa yang melangkaui Miqat ni tanpa berniat ihram, perlu kembali ke situ untuk berniat atau perlu membayar dam (denda).
Miqat ini umpama ‘checkpoint’ penting yang wajib dilalui dengan niat yang betul sebelum memulakan ibadah.
Sejujurnya sebelum hadir ke Makkah sebaiknya kita lakukan sedikit ‘ulang kaji’ berkenaan sejarah nabi-nabi kerana semua lokasi lawatan yang dibawa mempunyai kisah yang tersendiri dan penceritaan oleh mutawif akan lebih ‘deep’ sekiranya kita tahu akan sejarahnya.
Ketika di Makkah, kami sempat melakukan Infaq Sabil iaitu sumbangan makanan dan minuman kepada umat Islam di sana yang memberikan pengalaman tersendiri dan terdapat kawasan khas bagi tujuan itu.
Selain itu rutin harian kami di Makkah, mengerjakan solat waktu berjemaah kerana ia sentiasa penuh dengan ribuan umat Islam dari seluruh dunia dan perlu pergi lebih awal bagi memastikan tempat dan Masjidil Haram itu dikawal oleh ramai sekali petugas keselamatan bagi kelancaran laluan serta kawasan solat.
Selepas lima hari tibalah masanya untuk kami bergerak ke Madinah namun sebelum meninggalkan kota Makkah, kami perlu melakukan tawaf widak iaitu tawaf selamat tinggal yang wajib dilakukan oleh jemaah umrah atau haji sebelum meninggalkan Makkah sebagai tanda penghormatan terakhir kepada Kaabah sebelum pulang.
Kami menaiki bas untuk ke Madinah yang mengambil masa sekitar empat jam untuk tiba melalui perjalanan menggunakan lebuh raya dan sempat singgah di salah sebuah kawasan rehat dan rawat bagi merasai suasana itu di tanah Arab.
Setibanya di Madinah, suasana lebih tenang dan santai dan hotel penginapan terletak dalam 10 minit berjalan kaki ke Masjid al-Nabawi iaitu kedua paling suci selepas Masjidil Haram di Makkah adalah lokasi penting jika ke sini.
Di masjid ini juga terletaknya makan Nabi Muhammad SAW serta dua makam khalifah Islam yang pertama iaitu Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar dan ia boleh dilawati melalui laluan yang disediakan menerusi pintu 1 dan ramai umat Islam akan berdoa di kawasan ini.
Selain itu terdapat kawasan dalam masjid di antara makam nabi dan mimbar baginda yang menempatkan Raudhah yang dikenali sebagai taman syurga di dunia adalah lokasi yang mustajab untuk berdoa dan penulis sempat melakukan solat Maghrib di sini adalah satu detik paling istimewa kerana bukan mudah untuk memasuki ruang ini.
Ia perlu dipohon terlebih dahulu menerusi aplikasi seperti Nusuk dan lain-lain untuk mendapatkan permit khas memasukinya dan waktu-waktu yang sudah ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi.
Berhampiran Masjid Nabawi terdapat kawasan Perkuburan Baqi’ atau Jannatul Baqi’ adalah perkuburan utama di Madinah, terletak berhampiran Masjid Nabawi, dan ia sangat istimewa dalam Islam dan boleh dilawati.
Tempat ni dianggap tanah perkuburan paling mulia selepas Ma’la di Makkah kerana ramai tokoh penting dalam sejarah Islam, termasuk ahli keluarga dan para sahabat Nabi Muhammad SAW, dikebumikan di sini.
Ketika di Madinah kami sempat juga ke lokasi-lokasi menarik di sana antaranya Masjid Quba yang terletak kira-kira lima kilometer dari pusat bandar Madinah yang dibina Rasululllah sebaik berhijrah dari Makkah ke Madinah dan jika solat di sana umpama mendapat pahala mengerjakan umrah!
Kami juga melawat Bukit Uhud juga dikenali sebagai Jabal al-Rumah (bukit pemanah) lokasi berlakunya Perang Uhud pada tahun 3 Hijrah di antara tentera Islam dan Quraisy yang mana umat Islam mengalami kekalahan kerana mengabaikan arahan Nabi Muhammad.
Lokasi itu juga menempatkan kawasan perkuburan para syuhada yang gugur seperti Saidina Hamzah yang juga bapa saudara Nabi yang dikenali sebagai Singa Allah atas keberaniannya.
Di Madinah kami sempat juga melawat pusat jualan kurma bagi mendapatkan pelbagai jenis rasa dan tekstur untuk dibawa pulang serta pelbagai jenis produk berasaskan kurma yang lain terdapat di sana.
Selepas hampir 10 hari kami di Makkah dan Madinah maka lengkaplah Program Umrah MPB 2024 ini dan tiba saatnya kami untuk pulang ke tanah air dan seperti sebelumnya perlu lakukan juga Ziarah Widak dan biasanya dilakukan di Masjid Nabawi, sebagai tanda penghormatan terakhir kepada Rasulullah SAW dan sebagai doa untuk kesejahteraan serta perlindungan dalam perjalanan pulang.
Perjalanan bas dari hotel adalah lancar untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad bin Abdulaziz Madinah untuk pulang ke Malaysia dan ia menyimpan banyak kenangan yang manis.
Namun sebaik sehari tiba di Malaysia, salah seorang jemaah umrah kami meninggal dunia iaitu Norasmaliza Minhat di kediamannya di Kajang, Selangor.
Memori umrah ini adalah melengkapi lokasi-lokasi lain yang pernah dilawati penulis di seluruh dunia dalam urusan tugasan sebelum ini dan ia berbeza bagi tujuan ibadah dan ziarah menawarkan pengalaman bermakna untuk setiap daripada kita.
Makkah dan Madinah pasti akan selalu dirindui dan sekiranya berpeluang lagi sudah pasti akan mahu lagi ke sini!
© New Straits Times Press (M) Bhd




