sukan@hmetro.com.my
Kuantan: Tempoh rehat panjang saingan Liga Super memberi peluang buat Sri Pahang FC membentuk skuad yang lebih mantap selepas dibelenggu kecederaan dan penggantungan pemain.
Lebih-lebih lagi skuad kendalian Fandi Ahmad itu berdepan dengan masalah kecederaan yang membabitkan dua pemain utamanya iaitu Stefano Brundo dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham.
Bagi Fandi, tiada yang lebih utama adalah untuk memastikan dua pemain pertahanan itu segera sembuh dan kembali untuk bersama skuad Tok Gajah mengharungi saingan liga.
“Ketiadaan Brundo dan Azrif Nasrulhaq amat dirasai terutama di bahagian pertahanan terutama Brundo antara penyumbang gol utama pasukan Ketika ini.
“Oleh itu saya harap dua pemain ini akan kembali sebaik liga bersambung nanti dan Sri Pahang memiliki pasukan yang lebih mantap bukan sahaja di bahagian pertahanan, malah tengah dan serangan,” katanya,
Sebelum ini, Brundo tidak sabar untuk kembali memperkasakan skuad itu biarpun masih lagi dalam proses pemulihan kecederaan yang dialami pada September lalu.
Dalam pada itu, legenda bola sepak Singapura itu mahu jentera serangan yang dapat beraksi lebih cemerlang dalam usaha membantu skuad itu mencatat kemenangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




