Mentor Milenia beri kematangan buat Qalisya sertai uji bakat Calpis Soda OIAM

Mentor Milenia beri kematangan buat Qalisya sertai uji bakat Calpis Soda OIAM

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Pengalaman menyertai Mentor Milenia mematangkan Nur Qhalysa Syazreena Jainudin@Zainuddin atau Qalisya, 25, dalam industri seni tanah air.

Qalisya berpendapat peluang menjadi protege Tomok sebelum ini secara tidak langsung memberi pendedahan dan mematangkan dirinya untuk bergelar penyanyi profesional.

“Tetapi penyertaan dalam uji bakat Calpis Soda One In A Million kali ini tetap suatu pengalaman baru.

“Walaupun pernah mengikuti Mentor Milenia namun gemuruh itu tetap ada. Tambahan pula, kita berdepan dengan juri hebat dalam industri.

“Bagaimanapun, saya bersyukur dengan semua komen positif juri sehingga mampu melayakkan diri ke peringkat top 100,” katanya menghadiri uji bakat ditemani ibu.

Qalisya yang kini bergelar usahawan berkata, dia sudah sedia maklum mengenai uji bakat itu lebih awal namun kesibukan harian membuatkan dia lupa tarikh sebenarnya pada 9 dan 10 November.

Menurutnya, dia secara kebetulan membuka reruai sempena penganjuran konvensyen tempatan di lokasi sama uji bakat dianjurkan.

“Secara tidak sengaja, saya bertemu dengan kru program dan mereka memaklumkan hari ini adalah tarikh uji bakat sebelum terus mengajak sertai uji bakat.

“Saya langsung tiada persiapan tetapi mungkin pengalaman sering membuat persembahan di sekitar Sabah banyak membantu untuk datang secara terus ke sesi uji bakat Calpis Soda OIAM ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top