am@hmetro.com.my
Ipoh: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menafikan siasatan terhadap Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) berkait dengan perbezaan ideologi politik dalam kalangan eksekutif dan jemaah pengarah di dalam pertubuhan itu.
Mohamad berkata, sebelum siasatan dibuat, beliau berjumpa dengan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri bagi menjelaskan tindakan itu tiada kaitan dengan agenda politik.
Menurutnya, penjelasan itu kemudian disokong penuh oleh Ahmad Zahid apabila mahu manfaat menerusi Nafas tidak hanya pergi kepada beberapa individu tertentu sahaja, sebaliknya kepada rakyat.
“Saya tahu isu serta spekulasi yang akan dimainkan adalah Amanah (Parti Amanah Negara) akan mengambil alih Nafas dan membuang Umno.
“Saya jumpa Datuk Seri (Ahmad) Zahid, saya kata yang Nafas, kita akan bertindak ini tiada kena mengena dengan politik. Dia kata, ‘Bang Mat’ (panggilan Ahmad Zahid kepada Mohamad), saya sokong penuh’.
“Dia (Ahmad Zahid) yang namakan sendiri… Bang Mat, kalau bertindak, buang orang ini, buang orang ini. Ertinya, Presiden Umno tahu apa yang berjalan dalam Nafas,” kata.
Mohamad yang juga Presiden Amanah berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Negeri Perak Amanah di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak Datuk Seri Dr Muhajid Yusof, Pengerusi Amanah Perak Datuk Asmuni Awi dan Setiausaha Umno Perak Datuk Aminuddin Md Hanafiah.
Sementara itu, pada sidang media, Mohamad berkata, beliau enggan menunding jari kepada mana-mana pihak termasuk kerajaan terdahulu mengenai isu yang membelenggu Nafas yang turut meberi tamparan kepada kerajaan Madani ketika ini.
“Saya tidak mahu ‘blame’ (persalahkan) mana-mana, kerajaan terdahulu dan sebagainya… Nafas sudah digantung kali yang ketiga. Kali pertama Lembaga Pengarahnya digantung adalah ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Pertanian.
“Kali yang kedua (penggantungan) berlaku di zaman (Allahyarham) Datuk Seri Salahuddin Ayub (sebagai Menteri Pertanian). Yang kali ini adalah ketiga, dan yang ketiga ini ianya panjang serta komprehensif, dan kita akan sekali gus dengan membuat struktur baru dalam Nafas,” katanya.
Mengenai pelantikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Zainal Rahim Seman sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Nafas yang baharu, Mohamad berkata, kebebasan diberikan kepada Zainal Rahim yang dianggap sebagai profesional dan dipilih berasaskan integriti untuk reformasi Nafas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




