Aaron-Wooi Yik tepati ramalan, juara Masters Korea

Aaron-Wooi Yik tepati ramalan, juara Masters Korea

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur :Pilihan utama Masters Korea, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menepati ramalan apabila muncul juara selepas menundukkan pasangan tuan rumah, Jin Yong-Kim Won Ho di pentas final sebentar tadi.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Iksan hari ini, Aaron-Wooi Yik menerima tentangan sengit dari lawan mereka itu sebelum mengesahkan kemenangan dalam pertarungan tiga set, 21-23, 21-19, 21-14 dalam masa 66 minit.

Di set pertama, pasangan negara yang berada di kedudukan keenam dunia itu terpaksa bekerja keras dari awal permainan dan hampir menutup dengan kemenangan tetapi lawan mereka mengubah keadaan untuk kemenangan memihak kepada tuan rumah.

Aaron-Wooi Yik terpaksa mengubah corak permainan dan mengelak melakukan kesilapan mudah meskipun di awal set kedua ketinggalan agak jauh dan terpaksa bangkit beberapa kali sebelum menang set itu dan mengheret ke set penentuan.

Pengalaman yang ada kepada bekas juara dunia itu memberi kelebihan buat Aaron-Wooi Yik untuk mengawal keadaan dan menyerap segala tekanan dan tidak melepaskan peluang dengan permainan yang lebih baik untuk menjarakkan kedudukan sekali gus mengakhiri dengan kemenangan kepada mereka.

Untuk rekod, pasangan Korea itu baru digandingkan dan ini adalah kejohanan pertama buat mereka.

Walaupun hanya menang pada Super 300 namun itu tetap bermakna untuk meraih kejuaraan sulung tahun ini dan meningkatkan keyakinan terutama bagi Wooi Yik yang kembali dari kecederaan retak jari kaki ketika beraksi di separuh akhir Olimpik Paris 2024.

Kemenangan itu juga memberi sinar dan suntikan semangat buat Aaron-Wooi Yik dalam usaha cuba layak beraksi di Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 di Hangzhou, China, bulan depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top