sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Hampir separuh daripada 15 kelab dalam saingan Liga A1 Semi Pro ketika ini mengalami tunggakan gaji termasuk pasukan Putrajaya Antlers FC.
Arena Metro yang cuba menghubungi pengendali pasukan itu, Nazrulerwan Makmor enggan mengulas lanjut namun akui sudah menyerahkan isu terbabit kepada peguam untuk membela nasib pemain dan pegawai pasukan.
Katanya, beliau cukup kecewa dengan situasi yang berlaku apabila langsung tiada pihak yang hadir untuk membantu termasuk Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mahupun Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM).
Jelasnya, beberapa pemainnya terutama yang ‘bernama besar’ sudah membuat aduan kepada PFAM mengenai isu terbabit namun sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang surat panggilan untuk melakukan siasatan berhubung laporan di buat.
“Saya minta maaf kerana tak dapat nak cakap lebih lanjut kerana saya sudah berikan kes ini kepada pihak peguam untuk selesaikan.
“Tapi awak cuba bayangkan, dalam kelab saya ada nama-nama besar seperti Amri Yahya, ada Indra Putra Mahayuddin…laporan dah buat tapi apa Tindakan sehingga sekarang?
“Masuk akal ke langsung tak ada apa-apa tindakan sehingga sekarang yang sudah berbulan (tertunggak gaji) ini. Mungkin dalam masa terdekat akan ada satu sidang media akan dibuat nanti,” katanya.
Difahamkan, sudah tujuh bulan pemain dan pegawai Putrajaya Antlers tidak dibayar gaji, dan sejak tiga minggu lalu tiada sesi latihan yang dijalankan.
“Macam mana nak buat latihan kalua gaji tak bayar. Awak pun boleh fikir benda ini,” tambah Nazrulerwan.
Situasi sama turut membelenggu kelab yang berpengkalan di Pulau Pinang iaitu Bukit Tambun FC apabila difahamkan sudah lima bulan tidak dibayar gaji.
Menurut sumber dipercayai, pemilik kelab ‘hilang dari radar’ di mana wujud masalah dalaman babitkan pihak pengurusan.
“Ada VVIP nak beli kelab ini (Bukit Tambun) tapi orang itu senyap saja. Jadi bila tanya kepada pemilik pasukan, beliau cakap masih berunding dengan orang itu.
“Jadi selagi tak selesai rundingan pembelian, maka gaji tak dapat dibayar. Sekarang pula, bila kami tanya pemilik kelab pun sudah senyap dan gagal dihubungi. Kami tak tahu nak mengadu dekat siapa lagi masalah ini,” kata sumber itu.
Sebelum ini, Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) turut terpalit dengan isu sama apabila pengendalinya, Wan Mustaffa Wan Ismail akui tidak menerima gaji beberapa bulan.
Malah kata Wan Mustaffa, beliau jadi lebih bingung apabila tiada mana-mana pihak pun mengaku memiliki kelab ini dengan masing-masing menuduh antara pentadbiran lama dan pengurusan baharu Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).
Sumber lain turut memaklumkan beberapa kelab lagi berdepan isu sama termasuk Gombak FC, Harini Selangor FT dan lain-lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd




