London: Mikel Arteta mendesak Arsenal untuk “menunjukkan taring mereka” selepas rentetan “mimpi ngeri” yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 menentang Chelsea awal pagi tadi yang memberi tamparan baru kepada harapan mereka untuk merebut gelaran Liga Perdana.
Pasukan Arteta kehilangan kelebihan yang diperoleh daripada jaringan Gabriel Martinelli pada separuh masa kedua, apabila Pedro Neto menyamakan kedudukan dengan satu gol jarak jauh yang mengagumkan, melebarkan rekod tanpa kemenangan Arsenal kepada empat perlawanan liga berturut-turut.
Dengan hanya tiga kemenangan dalam sembilan perlawanan liga terakhir mereka, Gunners jatuh ke tangga keempat, ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu Liverpool.
Keputusan mengejutkan itu hadir selepas dua musim berturut-turut di tempat kedua dalam pemburuan trofi liga.
Arteta masih percaya pasukannya boleh kembali bersaing untuk gelaran, asalkan mereka menunjukkan sisi agresif dalam permainan mereka.
Apabila ditanya apa yang perlu dilakukan Arsenal untuk mengejar Liverpool, Arteta berkata: “Menang, menang, dan menang. Itu yang perlu kami lakukan.
“Tiada apa yang boleh kami ubah tentang kedudukan kami sekarang.
“Apabila keadaan menjadi sukar, tunjukkan taring anda dan tunjukkan berapa banyak yang anda mahukan.
“Bila anda berada di Disneyland, semuanya cantik dan semua orang baik dengan anda. Tetapi apabila keadaan menjadi gelap dan sukar, itu adalah masa untuk menunjukkan keberanian anda.”
Perancangan Arteta terganggu oleh kecederaan yang dialami Martin Odegaard, Jurrien Timber, dan Bukayo Saka, di samping kad merah yang banyak mengganggu pasukannya pada awal musim.
Odegaard akhirnya kembali selepas masalah buku lali yang menyebabkan dia terlepas berada dalam kesebelasan utama Arteta sejak 31 Ogos.
Kapten berpengaruh itu memulakan aksi menentang Chelsea dan memberikan hantaran cantik untuk gol Martinelli.
“Saya hanya berdoa selepas rehat antarabangsa nanti saya akan mendapat semua pemain saya yang tersedia.
“Ini adalah mimpi ngeri selama lapan minggu. Masalah demi masalah dengan pemain yang tidak dapat bermain dan berlatih pada masa-masa tertentu.
“Secara fizikal dan mental, untuk kekal terhubung dengan pasukan dalam cara itu adalah luar biasa bagi Martin hari ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




