sariha@bh.com.my
Kaherah: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan membawa suara dan mandat rakyat Malaysia pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab-Islam, di Riyadh, Arab Saudi, esok, bagi membincangkan serangan serta kekejaman berterusan Israel ke atas warga Palestin dan Lubnan.
Perdana Menteri berkata, persidangan itu diharap dapat mencapai kata sepakat sesama negara Islam bagi menyelesaikan konflik yang berterusan di Gaza, Palestin.
Beliau berkata, keganasan dilakukan Israel tanpa kawalan yang seolah-olah mahu melenyapkan penduduk Islam di Gaza sangat keterlaluan, malah tidak pernah ada negara di dunia yang melanggar semua peraturan ditetapkan tetapi tidak dikenakan tindakan.
Susulan itu, katanya, beliau dan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi berlepas ke Riyadh pada malam ini bagi menghadiri sidang kemuncak itu untuk membincangkan perkembangan terakhir yang berlaku di Gaza, Palestin.
“Kita adakan mesyuarat tergempar negara Islam-Arab di Riyadh, Arab Saudi. Saya dan Presiden El-Sisi akan hadir dan kita harap muktamar ini dapat membincangkan isu keganasan Israel terhadap rakyat Palestin.
“Kita lihat, Israel seolah-olah mahu melenyapkan rakyat Palestin daripada bumi Gaza dan melakukan apa yang disebut sebagai genosid. Belum ada dalam sejarah dunia, satu negara boleh melanggar semua peraturan dan undang-undang, membunuh kanak-kanak dan wanita, melakukan kekejaman dengan merampas tanah, menakluki sebagai penjajah.
“Insya-Allah, saya akan membawa suara dan mandat rakyat Malaysia sewaktu Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab- Islam itu bagi membincangkan serangan dan kekejaman berterusan Israel ke atas warga Palestin dan Lubnan.
“Sebenarnya, Malaysia sudah cuba menyampaikan pandangan kepada rakan kita di negara Arab dan Islam yang disebut sebagai Global South atau Pakatan Negara Selatan untuk mendesak Israel disingkir sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya berucap di hadapan lebih 1,500 kakitangan dan pelajar Universiti Al-Azhar Al-Sharif, pada program syarahan umum di sini, hari ini.
Turut hadir mendengar syarahan bertajuk Teguh Bersama: Visi Bagi Umat Islam Menerusi Pemerkasaan Teknologi, Sosial dan Ekonomi itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Pesawat khas membawa Anwar berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, di sini menuju ke Riyadh, Arab Saudi pada kira-kira jam 7.17 malam tadi (jam 1.17 pagi di Malaysia).
Perdana Menteri akan kembali ke Kaherah pada malam esok bagi meneruskan beberapa program rasmi yang dijadualkan bersama delegasi Malaysia dan Mesir.
Pada 1 November lalu, Anwar mengesahkan menerima undangan daripada Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman bagi menghadiri persidangan khas itu di Riyadh.
Perdana Menteri berkata, Malaysia berterima kasih kepada Kerajaan Mesir yang banyak membantu penghantaran bantuan kemanusiaan ke Palestin dalam usaha meringankan beban dihadapi rakyat Gaza yang ditindas dan dizalimi rejim Zionis.
Beliau berkata, Kerajaan Mesir juga mengirim dua pesawat tentera ke Rafah untuk mengambil pesakit Palestin dan dihantar menjalani rawatan di hospital tentera di Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




