rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seramai sembilan individu diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes seorang penuntut junior Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang cedera dibuli.
Difahamkan, mangsa antara individu diambil keterangan dengan proses rakaman itu dilakukan di hospital kerana mangsa sedang menerima rawatan kerana kecederaannya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, keterangan diambil susulan laporan diterima berhubung kejadian terbabit.
“Setakat ini, sembilan individu sudah dirakam keterangan termasuk mangsa.
“Suspek dijangka akan diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada petang ini.” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.
Terdaulu, Harian Metro melaporkan penuntut tahun satu UPNM, Kem Sungai Besi, di sini, mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang dipercayai dipijak penuntut senior.
Kejadian itu berlaku pada 21 Oktober lalu, sehari sebelum seorang penuntut universiti sama yang melecur di badan akibat ditekap dengan seterika oleh penuntut senior.
Rusdi dipetik berkata, lelaki berusia 19 tahun dilaporkan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak oleh seorang pelatih tahun tiga, di universiti berkenaan.
From: Aina
© New Straits Times Press (M) Bhd
