Cavendish mahu terus berada dalam dunia basikal

Cavendish mahu terus berada dalam dunia basikal

Singapura: Mark Cavendish berikrar untuk terus terbabit dalam dunia berbasikal selepas menamatkan kariernya sebagai pelumba profesional dengan kemenangan di Kriterium Tour de France Prudential Singapura.

Pelumba dari Britain yang mencatat sejarah dengan meraih 35 kemenangan peringkat dalam perlumbaan Tour de France (TdF), diberi penghormatan oleh rakan pelumba sebelum perlumbaan terakhirnya dalam karier profesionalnya dengan penuh emosi.

“Saya tidak boleh mengharapkan yang lebih baik daripada ini,” kata Cavendish, 39, yang kelihatan sebak.

“Mempunyai isteri dan rakan-rakan saya di sini adalah satu perkara yang sangat hebat. Saya sangat emosional, saya sangat bersyukur dan saya harap semua orang menikmati perlumbaan itu.”

“Saya sedar dalam lima pusingan terakhir bahawa ini adalah 15km terakhir dalam karier saya, dan saya dapat merasakannya.

“Saya tidak berlumba sejak Tour de France (TdF), jadi saya rasa kekurangan ketajaman itu dan apabila ada pasukan pendahulu di sekeliling saya, ia memang akan menjadi sukar.”

“Tapi anda lihat kerja luar biasa yang dilakukan pasukan saya, Astana Kazakhstan, yang memimpin saya.

“Saya terpaksa teruskan. Saya perlu memberi peluang kepada Jasper (Philipsen) dan Biniam (Girmay) pada pusingan terakhir. Saya sangat takut jatuh atau apa-apa yang boleh menyebabkan saya terjatuh, jadi saya betul-betul mahu sekurang-kurangnya menyelesaikan perlumbaan terakhir saya.”

Pada usia 39 tahun, Cavendish, yang sudah menjulang 166 kemenangan sepanjang kariernya, meraih kemenangan terakhirnya dengan cara yang hanya dapat dilakukan oleh seorang legenda.

Bagi Cavendish, kemenangan ini bukan sekadar satu lagi trofi, tetapi simbol sempurna untuk menutup 19 tahun yang penuh warna-warni dalam dunia berbasikal profesional.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top