khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan tidak akan berpatah balik dalam keputusan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang dibuat pada 2021 dan 2022.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ini kerana peperiksaan itu disifatkan tidak lagi relevan, khususnya dalam menerajui Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
“Ketika ini, KPM tidak akan berpatah balik dalam keputusan kita menghapuskan UPSR dan PT3 kerana ia sudah tidak lagi relevan.
“Tetapi kita beri ruang sepenuhnya untuk pentaksiran (berasaskan sekolah) ini berlangsung dan diperkukuhkan dengan jauh lebih baik,” katanya semasa menggulung Belanjawan 2025 bacaan kali kedua peringkat kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Isnaraissah Munirah Majilis@Fakharudy (Warisan-Kota Belud) dan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mencelah dalam sesi itu dengan meminta pihak kementerian supaya mengembalikan dua peperiksaan terbabit.
Mengulas lanjut, Fadhlina turut menegaskan, pemansuhan UPSR dan PT3 tidak bermakna peperiksaan itu tidak ada.
“(Peperiksaan) masih ada. Disebabkan itu dalam jawapan saya tadi, saya tegaskan kita akan memperkukuhkan ujian akhir ini.
“Ia adalah sebagai sebahagian daripada konteks untuk pentaksiran bagi ibu bapa yang masih merasakan anak-anaknya perlu dinilai melalui peperiksaan dan ia adalah bersifat berkepentingan rendah,” katanya.
Selain itu katanya, apapun yang berlaku dalam sektor pendidikan, ia harus kembali kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
“Apabila kita melihat kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan itu, unsur majunya harus dilihat dalam konteks ia dinilai secara adil,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




