mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan tidak berhasrat untuk melaksanakan moratorium untuk kes berkaitan kemudaratan dalam talian sementara Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) sedang dalam peringkat cadangan pindaan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pada masa ini, Seksyen 233 Akta 588 antara peruntukan sedia ada yang boleh dikuatkuasakan bagi menangani sebarang aktiviti kemudaratan dalam talian.
Katanya, peruntukan ini hanya akan dikuatkuasakan sekiranya terdapat kandungan dalam talian yang dikenal pasti bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain.
“Setakat ini tiada cadangan (moratorium) itu kerana kita nampak memang ada kes-kes wajar di bawa ke mahkamah.
“Saya kongsikan satu dua contoh kes pertama, kematian pempengaruh Esha. Pemandu lori yang didakwa di mahkamah juga disiasat dan didakwa di bawah Seksyen 233, akhirnya mahkamah jatuhkan hukuman 12 bulan penjara.
“Ada satu lagi kes Adeline Chang yang membuat hantaran jelik kepada kanak-kanak umur lima tahun dan didakwa di bawah Seksyen 233 dan dihukum denda RM7,000.
“Jadi, saya rasa kalau kita hendak henti guna pakai Seksyen 233 sampai dapat kelulusan atau pindaan, tak berapa praktikal,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) mengenai langkah diambil bagi menjadikan jawatankuasa siasatan pelanggaran akta bertindak berlandaskan undang-undang serta sama ada kerajaan mahu berhasrat melaksanakan moratorium sebelum Akta 588 dibentangkan di Parlimen.
Mengulas lanjut, Teo berkata, pada masa sama wujud kebimbangan lain bagi memastikan Seksyen 233 tidak disalah gunakan mana-mana pihak.
“Saya rasa semak dan imbang sangat penting untuk semua pihak dan penguatkuasa.
“Siasatan boleh dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) , selepas itu kita hantar siasatan ke Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum buat keputusan sama ada akhirnya kes ini didakwa di mahkamah atau beri amaran.
“Saya rasa ini built sistem untuk pastikan apa-apa kuasa diberi kepada sesuatu penguatkuasa tidak disalah gunakan,” katanya.
Setakat tahun ini, katanya, beberapa sesi libat urus dijalankan MCMC termasuk cadangan berhubung pindaan kepada seksyen 233.
“Maklum balas daripada sesi libat urus diambil kira dalam memuktamadkan cadangan pindaan kepada Akta 588, di mana penelitian dan kajian yang terperinci dilaksanakan MCMC dan Kementerian Komunikasi bagi memastikan skop dan penggunaannya
lebih jelas dan tidak disalahgunakan dan bagi memastikan penguatkuasaannya dapat menangani kemudaratan dalam talian.
“Cadangan pindaan kepada Akta 588 termasuk cadangan pindaan kepada seksyen
233 dihasratkan untuk dibentangkan di Parlimen dalam mesyuarat kali ini tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
