'Ada yang mengadu dengan pengarah, tapi tetap tak berubah' – Alif Muhamin

'Ada yang mengadu dengan pengarah, tapi tetap tak berubah' – Alif Muhamin

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Alif Muhamin, 30, yang mendakwa terdapat segelintir pelakon senior yang membuli pelakon baru di set penggambaran bersetuju dengan pendapat pengarah, Dr Ahmad Idham yang meminta pelakon yang menjadi mangsa buli memaklumkan kejadian itu kepada pengarah.

Namun, Alif ketika dihubungi mendakwa pelakon terbabit sudah memberitahu pengarah, tetapi tidak ada perubahan atau tindakan yang diambil.

“Saya setuju, tapi saya nampak depan mata sendiri juga. Ada kawan-kawan mengadu kepada pengarah, ada tindakan diambil, tetapi sama juga sehinggalah individu itu sendiri yang perlu ubah cara dia.

“Secara peribadi, apa yang dikatakannya betul. Cuma, kadang-kadang pengarah pun tak boleh nak buat apa sebab pengalaman sebegitu sebahagian daripada perjalanan untuk menjadi pelakon.

“Kejadian itu dah berlalu beberapa tahun lalu. Tapi, pernah juga berlaku walaupun dah jarang. Lakonan saya mungkin masih belum cukup baik, tapi mungkin sebab saya dah melalui proses yang mematangkan saya, saya belajar banyak benda.

“Saya tak pandai lagi berlakon dan banyak lagi saya nak belajar,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Alif mendakwa dia nampak sendiri pelakon senior membuli pelakon baru dan ia seolah-olah sudah menjadi perkara yang boleh diterima dalam setiap produksi.

“Contohnya apabila terdapat dialog panjang sampai empat muka surat, kita tahu pelakon akan rasa sedikit cemas untuk habiskan dialog.

“Tapi apabila dialog itu hampir berjaya dihabiskan, tiba-tiba pelakon senior ini akan gelak dan terpaksa ulang semua dari awal,” katanya.

Susulan daripada itu, terdapat pelakon baru yang merasa tertekan dan murung sehingga ada yang enggan meneruskan minat mereka sebagai pelakon.

Menurut Alif, apa yang berlaku dianggap sebagai pengalaman untuk menguatkan lagi jiwanya untuk melangkah maju sebagai anak seni.

“Benda itu akan kuatkan kita untuk berdepan situasi mencabar dalam industri. Kita kena pandai membawa diri, tak menyusahkan orang dan sebagainya. Dibuli itu pun, sekejap saja. Itu menjadikan saya dan pelakon-pelakon lain cepat mesra. Jadi lebih rapat.

“Biasalah, penggambaran memakan masa yang panjang. Jadi, kalau tak kacau-kacau, masa tu rasa lama untuk bergerak.

“Kalau dapat berkawan baik dengan pengarah, memang akan mudah kerja. Awal-awal dulu, memang saya belum biasa lagi dan pernah bekerja dengan pengarah yang tak suka saya. Jadi, memang susah,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Idham dalam satu hantaran di media sosial menegur pelakon-pelakon baru supaya memaklumkan kepada pengarah selaku ‘ketua kapal’ di lokasi penggambaran sekiranya berdepan insiden buli.

“Kepada anda semua yang masuk industri tanpa ilmu ini, saya nak maklumlah. Pengarah adalah ketua kapal di set penggambaran.

“Sekiranya ada insiden buli oleh pelakon senior seperti yang dikatakan, anda boleh maklumkan kepada pengarah. Bukannya kepada pihak media. Nak dapat publisiti pun janganlah sampai wujudkan persepsi negatif ya, Mat,” tulisnya di media sosial.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top