Memandu dalam keadaan mabuk, dua lelaki didenda RM10,000, penjara sehari

Memandu dalam keadaan mabuk, dua lelaki didenda RM10,000, penjara sehari

am@hmetro.com.my

Muar: Peniaga kedai perhiasan kanak-kanak dan pekerja syarikat produksi masing-masing didenda RM10,000 serta penjara sehari selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memandu mabuk, Mei dan Julai lalu.

Tertuduh, Goh Chia Phern, 42, dan Tay Chor Howe, 34, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Suzana Mokhtar selepas pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, Chia Phern didakwa memandu dalam keadaan mabuk dengan kandungan alkohol sebanyak 85 miligram (mg) / 100 mililiter (ml) dalam darahnya di Jalan Sakeh, di sini, jam 1.40 pagi, 12 Julai lalu.

Manakala Chor Howe didakwa melakukan kesalahan sama kerana memiliki 74mg/100ml alkohol dengan kejadian di Batu 4, Jalan Bakri, di sini, pada jam 1.30 pagi, 19 Mei lalu.

Oleh itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda maksimum RM50,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang dua tahun dari tarikh sabitan.

Berdasarkan fakta kes, polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menjalankan operasi Op Mabuk sebelum terserempak dua kereta dinaiki kedua-dua tertuduh dalam keadaan mencurigakan.

Sebaik diarahkan berhenti, anggota polis bertugas terhidu bau alkohol daripada kedua-dua tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqillah Mohd Rofaie manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Amy Chia Mei Yan.

Selepas mendengar hujahan dan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 serta penjara sehari berkuat kuasa pada hari sabitan, hari ini.

Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayarnya serta lesen digantung selama dua tahun juga bermula hari sabitan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top