nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Walaupun suami dalam keadaan tidak sihat seperti sebelum ini, saya rasa lega dapat bertemu dengannya apabila dia sudah pulang ke tanah air,” kata Jannariah Kimun, 62.
Jannariah berkata, pesawat yang membawa suaminya, Md Hussin Parawangai, 68, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang kira-kira jam 11.40 pagi semalam.
“Susulan beberapa kekangan, saya diminta untuk menunggu di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini. Ambulans membawa suami tiba di hospital ini jam 1.30 tengah hari tadi (semalam).
“Saya lihat tidak banyak perubahan (daripada segi tahap kesihatan) suami, namun tetap lega kerana dia sudah ada di sini.
“Kehadirannya di sini melenyapkan rasa susah hati yang saya tanggung sepanjang tiga bulan dia berada di Madinah,” katanya dihubungi, di sini.
Katanya, pihaknya masih menunggu laporan dan prosedur rawatan seterusnya yang akan dilakukan terhadap suaminya.
“Saya nak ucap terima kasih kepada Exco Hal Ehwal Agama Johor, Mohd Fared Khalid dan Majlis Agama Islam Johor yang banyak membantu urusan membawa pulang suami.
“Terima kasih juga kepada rakan yang banyak membantu dengan memberi sumbangan. Hanya Tuhan yang dapat membalas jasa baik semua pihak terbabit,” katanya.
Pada 5 Oktober lalu, Harian Metro melaporkan seorang peneroka Felda Maokil 1, Labis, Muar rebah akibat serangan jantung di lobi sebuah hotel di Madinah.
Md Hussin sepatutnya pulang ke negara ini pada 27 Julai lalu selepas mengerjakan umrah bersama tiga adik-beradik perempuannya.
Namun, empat hari sebelum jadual penerbangan pulang ke Malaysia, dia mengalami komplikasi berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




