kamarulzaidi@nstp.com.my
Lima, Peru: Pengendali platform media sosial TikTok memberi jaminan untuk meneliti beberapa isu yang wujud di platform berkenaan seperti buli siber, ancaman scam dan fitnah yang semakin berleluasa.
Komitmen itu dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Shou Zi Chew dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berlangsung selama 30 minit di luar Minggu Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Apec (AELW) di sini hari ini.
Anwar menerusi perkongsian di media sosial berkata, TikTok turut menyatakan kesediaan untuk menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Bank Negara Malaysia (BNM).
“TikTok memberi jaminan untuk melihat permasalahan ini dan menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Bank Negara Malaysia (BNM),” kata Perdana Menteri dalam hantaran di media sosial selepas pertemuan itu.
Kerjasama itu dilihat sebagai langkah positif yang menunjukkan kesediaan TikTok dalam mengawal penyalahgunaan platformnya yang boleh menggugat keharmonian sosial dan keselamatan rakyat.
Beliau turut menyentuh tentang pelaksanaan kerangka kawal selia baharu untuk media sosial dan perkhidmatan pesanan internet, yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun hadapan.
Langkah berkenaan memerlukan platform seperti TikTok untuk mendapatkan lesen dan mematuhi garis panduan yang lebih ketat demi keselamatan pengguna.
Pertemuan itu juga membincangkan komitmen TikTok dalam melanjutkan pelaburan di Malaysia, sejajar dengan usaha kerajaan untuk menarik lebih banyak pelaburan asing.
“Kami turut membincangkan kerjasama antara Kerajaan MADANI dan TikTok di Malaysia dan mereka memberi perakuan melanjutkan pelaburan secara besar-besaran,” katanya.
Selain itu, TikTok turut menyuarakan sokongan penuh terhadap peranan Malaysia sebagai Pengerusi Asean pada tahun 2025.
Pertemuan yang diadakan itu menunjukkan usaha berterusan kerajaan Malaysia untuk memastikan platform digital digunakan secara bertanggungjawab, sambil memanfaatkan potensi ekonomi yang dibawa oleh platform antarabangsa seperti TikTok.
Langkah itu juga diharapkan dapat menyumbang kepada kestabilan sosial dan pertumbuhan ekonomi Malaysia, sekali gus menonjolkan peranan negara sebagai pemimpin digital serantau.
© New Straits Times Press (M) Bhd




