PKS tonggak ekonomi Malaysia – Tengku Zafrul

PKS tonggak ekonomi Malaysia – Tengku Zafrul

kamarulzaidi@nstp.com.my

Lima, Peru: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menegaskan peranan penting perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia di persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Lima, Peru.

“70 peratus daripada tenaga kerja Malaysia bekerja dalam sektor PKS, termasuk usahawan wanita dan mikro PKS.

“Pertumbuhan ekonomi Malaysia haruslah inklusif dan melibatkan golongan ini,” katanya dalam satu temu bual dalam program The Hear yang disiar CGTN hari ini.

Beliau menekankan bahawa PKS adalah tulang belakang ekonomi Malaysia dan kerajaan komited untuk memastikan mereka mendapat manfaat daripada integrasi ekonomi yang lebih erat di rantau Asia Pasifik.

“Platform digital perlu diperkasakan untuk memberi akses pasaran kepada semua segmen perniagaan, termasuk PKS,” katanya.

Tengku Zafrul turut menjelaskan tema APEC tahun ini, “Empower. Include. Grow.” amat relevan dengan usaha Malaysia untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.

“Ketidaktentuan ekonomi global semasa menuntut kerjasama dan integrasi ekonomi yang lebih erat di rantau ini.

“APEC menyediakan platform penting untuk membincangkan isu dan cabaran yang dihadapi,” katanya.

Malaysia, sebagai sebuah negara perdagangan yang kecil, menyokong integrasi ekonomi yang lebih erat kerana ia akan membawa kepada pertumbuhan yang lebih inklusif, mampan, dan berdaya tahan.

“Pertumbuhan haruslah melibatkan semua lapisan masyarakat, termasuk PKS, belia, dan usahawan wanita,” katanya.

Tengku Zafrul turut berkongsi mengenai rancangan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan untuk mewujudkan Kerangka Perjanjian Ekonomi Digital yang akan memudahkan penyertaan PKS dalam e-dagang.

Beliau juga menegaskan sokongan Malaysia terhadap perjanjian perdagangan multilateral seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP).

“Malaysia adalah sebuah ekonomi yang sangat terbuka.

“Kami komited untukmeningkatkan kerjasama perdagangan dengan negara-negara lain di rantau ini.” katanya.

Tengku Zafrul turut menyentuh kepentingan Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang diadakan sempena mesyuarat APEC dalam membina jambatan antara pembuat dasar dan pemimpin industri.

Mengenai Ekspo Import-Eksport Shanghai, beliau menyatakan komitmen Malaysia untuk meningkatkan akses pasaran ke China, rakan dagang terbesar Malaysia.

Beliau turut melahirkan keyakinan terhadap impak positif pembukaan pelabuhan baru di Peru yang dijangka dapat mengurangkan kos logistik dan merancakkan lagi aktiviti perdagangan di rantau ini

.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top