kamarulzaidi@nstp.com.my
Lima, Peru: Pendemokrasi pendidikan adalah kunci utama untuk menghadapi cabaran yang dibawa oleh kecerdasan buatan (AI) dan kemajuan teknologi digital.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa pendidikan dan latihan dalam bidang digital dan AI perlu diberi perhatian serius, dengan memastikan semua lapisan masyarakat mendapat akses yang sama rata.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam sesi forum bertajuk “Peluang dan Cabaran dalam Revolusi AI” pada Sidang Kemuncak CEO APEC 2024 di sini hari ini.
Anwar menjelaskan bahawa cabaran yang timbul akibat revolusi teknologi ini, walaupun berbeza, tidak jauh bezanya dengan gangguan yang berlaku semasa Revolusi Perindustrian.
“Semasa Revolusi Perindustrian, terdapat gangguan besar, tetapi manusia telah menggunakan kebijaksanaan dalam kepakaran dan inovasi untuk mencipta pekerjaan baru,” katanya sambil menegaskan bahawa dengan pendekatan yang tepat, gangguan AI boleh diatasi.
Beliau berkata demikian ketika menjadi sebagai salah seorang panel dalam sesi forum bertajuk ‘Peluang dan Cabaran dalam Revolusi AI’ pada Sidang Kemuncak CEO APEC di sini pada Khamis.
Dalam konteks Malaysia, Anwar menekankan usaha kerajaan untuk memfokuskan pendidikan digital sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkasakan rakyat.
Beliau mengaitkan usaha ini dengan usaha pembasmian buta huruf suatu ketika dahulu, dengan memperkenalkan kemahiran asas membaca dan menulis kepada seluruh masyarakat.
Sehubungan itu tegas beliau, kemahiran literasi digital dan penguasaan AI adalah setara pentingnya.
“Kita telah cuba di beberapa daerah, di mana pelajar yang lemah dalam matematik dan sains berjaya menguasai pengkodan. Ini menunjukkan bahawa walaupun tanpa pendidikan formal, kebijaksanaan manusia boleh mendorong kejayaan,” tambahnya.
Anwar turut menekankan kepentingan untuk memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada pendidikan digital, tanpa mengira latar belakang.
Beliau menyeru akses pendidikan AI diperluaskan dari sekolah dan universiti hingga ke kawasan luar bandar, termasuk masyarakat miskin di bandar.
Anwar percaya bahawa dengan dasar awam yang menumpukan kepada pendemokrasian pendidikan AI, Malaysia mampu mengatasi cabaran gangguan teknologi masa depan.
“Jika kita berjaya mendemokrasikan akses kepada pendidikan AI, insya-Allah, kita akan dapat menyelesaikan cabaran yang kita hadapi,” katanya.
Justeru, beliau melihat pendidikan yang inklusif akan memastikan negara bukan sahaja bersedia menghadapi perubahan teknologi, tetapi juga memperkasakan rakyat untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan oleh kemajuan AI dan teknologi digital.
Turut sama dalam sesi forum yang dikemudi oleh Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) Kanada, Jan De Silva adalah Naib Presiden Korporat Data & AI Microsoft, Zia Mansoor; Ketua Pegawai Eksekutif Vobile, Yangbin Wang dan Ketua Global, Hal Ehwal Kerajaan dan Polisi Awam Google, Karan Bhatia.
© New Straits Times Press (M) Bhd