Turin: Jannik Sinner menamatkan peringkat kumpulan dengan sempurna di Jelajah Akhir ATP selepas mencatatkan kemenangan 6-3, 6-4 ke atas Daniil Medvedev sekali gus menyingkirkan pesaing Rusia itu.
Pemain nombor satu dunia, Sinner, sudah pun layak ke separuh akhir berikutan Alex De Minaur yang memenangi set pertama ketika kalah kepada Taylor Fritz semalam.
Sinner hanya memerlukan satu set untuk memastikan kedudukan teratas dalam Kumpulan Ilie Nastase dan menafikan peluang Medvedev mara ke empat terakhir dalam kejohanan penutup musim di Turin.
Sinner tidak mahu mengecewakan penyokong tempatan yang penuh semangat dan memberikan satu lagi persembahan mengagumkan untuk mara ke separuh akhir dengan kemenangan sempurna, tiga kemenangan daripada tiga perlawanan.
“Saya ada sebab untuk tersenyum, ia satu perlawanan yang baik dan suasana yang luar biasa seperti biasa,” kata Sinner yang sangat gembira.
“Ia satu perlawanan yang sukar, Daniil dan saya saling mengenali dengan baik, jadi saya tahu saya perlu melakukannya dengan tepat dari segi taktikal. Kita lihat siapa yang saya jumpa di separuh akhir nanti, saya gembira dapat sampai ke sana.”
Selepas menamatkan musim tanpa sebarang gelaran, Medvedev memberitahu wartawan bahawa dia menilai musimnya ‘sifar daripada 10’.
“Saya mahu menjadi nombor satu dunia, tetapi saya tidak bermain cukup baik tahun ini, jauh sekali,” kata Medvedev.
© New Straits Times Press (M) Bhd



