Akta maritim baharu Filipina bukan untuk tuntut Sabah – Penganalisis

Akta maritim baharu Filipina bukan untuk tuntut Sabah – Penganalisis

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dua akta maritim baharu diluluskan oleh Filipina yang melanggar sempadan maritim Sabah bukan ditujukan untuk menuntut negeri itu sebaliknya memperkuatkan tuntutan negara itu bagi mengawal laluan kapal di Kepulauan Paracel.

Pakar Geostrategis Dr Azmi Hassan berkata, ini disebabkan di kawasan itu seringkali berlakunya pertembungan fizikal antara Manila dan Beijing membabitkan kapal peronda mereka.

“Jadi, itu dikatakan untuk memperkuatkan tuntutan Filipina mengawal laluan supaya China tidak mengambil peluang di mana pulau terlampau banyak di kawasan Zon Ekonomi Ekslusif (EEZ) Filipina.

“China mengambil peluang dengan mereka mengatakan hanya melalui kawasan itu. Disebabkan itu, dinyatakan dibuat dua akta ini secara spesifiknya adalah untuk menentukan kawasan laluan kapal yang perlu diikuti oleh kapal-kapal antarabangsa termasuk kapal peronda China.

“Saya melihat itu tujuan utamanya, bukan kerana tuntutan terhadap Sabah (atau) sistem pertahanan kita yang agak lemah, tidak ada kena mengena dengan itu,” katanya kepada Harian Metro hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dilaporkan berkata, Malaysia menghantar nota bantahan kepada Filipina berkaitan dua akta maritim baharu negara itu yang melanggar sempadan maritim Sabah.

Beliau berkata, Akta Zon Maritim Filipina (Philippine Maritime Zones Act) dan Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina (Philippine Archipelagic Sea Lanes Act) yang ditandatangani Presiden Ferdinand Marcos Jr pada 8 November lepas disahkan telah melangkaui Peta Baharu Malaysia 1979 yang dibuat berdasarkan undang-undang antarabangsa.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, pengenalan kepada dua akta itu adalah disebabkan Filipina tertekan dan perlu berbuat sesuatu.

Beliau dalam masa sama turut menyatakan apa yang dilakukan oleh Filipina itu tidak akan diluluskan oleh Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).

Pakar keselamatan, Prof Dr Mohd Mizan Mohd Aslam pula melihat tindakan Filipina itu adalah bagi menjaga kepentingan negara mereka kerana berlakunya ketegangan diplomatik membabitkan China.

Selain itu katanya, tindakan Filipina ini juga menunjukkan mereka tidak menerima menerima perkara yang telah digariskan oleh UNCLOS atau sempadan dipersetujui sejak 1954 di bawah ‘Order in Council’ United Kingdom (UK).

“Kalau kita lihat trend ini selalunya berlaku apabila menghampiri pilihan raya untuk membangkitkan sentimen bagi sesetengah isu sehingga boleh meraih sokongan dalam pilihan raya.

“Dalam masa yang sama, sebenarnya kita dapat lihat mana-mana pemimpin di Filipina itu akan cuba mendapatkan sokongan daripada rakyat dengan membangkitkan isu berkaitan kedaulatan negara mereka,” katanya.

Katanya, tindakan Malaysia menghantar nota bantahan juga adalah tepat, bijak dan memerlukan keadaan yang cukup berhemah untuk menanganinya.

“Nota bantahan ini adalah tindakan awal, menunjukkan kita serius dan kita tidak mengiktiraf apa yang dilakukan oleh Filipina.

“Jika kita tidak menghantar bantahan, maknanya kita menerima dan akur kepada apa yang mereka gariskan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top