am@hmetro.com.my
Johor Bahru: “Hampir sembilan tahun selepas berpisah dengan bekas suami, saya diberi kesihatan yang baik untuk memikul tanggungjawab menyara dua cahaya mata, namun semuanya berubah selepas saya diserang strok Februari lalu,” kata ibu tunggal, Nor Zainizah Zainal, 31.
Nor Zainizah yang juga bekas penyelia bahagian hospitaliti di sebuah hotel di sini, berkata, akibatnya, dia turut hilang penglihatan mata kiri.
Beliau berkata, dia diserang strok ketika berada di tempat kerja dan pada awalnya hanya mengalami simptom sakit kepala, muntah dan cirit-birit.
Menurutnya, selain mata kiri, mata kanannya juga semakin kabur dipercayai berpunca daripada gangguan saraf yang semakin teruk.
Katanya, difahamkan dia juga berdepan dengan risiko buta sekiranya gagal menjalani pembedahan di bahagian otak.
“Sebelum ini saya menjalani rawatan laser bagi mata kiri namun saraf mata didapati gagal berfungsi.
“Pada 18 November ini saya perlu bertemu dengan doktor pakar di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan mereka akan memberi penerangan lanjut berkaitan pembedahan dan risiko mungkin dialami.
“Apa pun perasaan saya bercampur-baur berikutan memikirkan nasib anak dan kebaikan serta keburukan menjalani pembedahan,” katanya ketika ditemui di Jalan Belian, Kampung Melayu Majidee di sini hari ini.
Terdahulu keluarga itu menerima sumbangan barangan keperluan disampaikan oleh Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash and Carry, Mas Imran Adam.
Nor Zainizah berkata, sejak hilang pekerjaan dan pendapatan bulanan kira-kira RM2,000, dia dan anak kerap terputus bekalan makanan selain mengharapkan bantuan kenalan dan rakan sekerja.
Menurutnya, malah dia juga tidak mampu memberikan duit poket kepada anaknya Mohamad ‘Afi Fayyadh, 13, yang juga pelajar SMK Tun Syed Nasir selain anak bongsunya, Nurul Fathiah, 12, yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Majidi.
“Kami hanya makan apa yang ada, wang simpanan sudah habis, keadaan kewangan kami agak berat kerana menanggung kos sewa rumah RM500 sebulan.
“Baru-baru ini, tuan rumah juga meminta kami untuk pindah keluar. Saya agak tertekan kerana saya tiada tempat tinggal lain tambahan pula saya anak yatim piatu dan anak tunggal.
“Sehingga kini kami juga tidak menerima sumbangan bulanan daripada mana-mana jabatan dan hanya bantuan secara one off,” katanya.
Nor Zainizah berkata, dia yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) pernah memohon tuntutan pencen ilat dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) namun tidak berjaya.
“Hanya saya mengetahui penderitaan dialami, selain masalah penglihatan, kadang-kala badan saya lemah hingga tidak dapat bangun atau melakukan aktiviti di rumah.
“Saya buntu memikirkan masa depan anak sama ada kami terpaksa bergantung kepada bantuan ramai atau kenalan selamanya terutama bagi membiaya persekolahan anak,” katanya.
Orang ramai yang ingin meringankan beban Nor Zainizah boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun CIMB miliknya di 7074632850.
© New Straits Times Press (M) Bhd




