Kabinet tak bincang isu Filipina, tetap guna saluran diplomatik

Kabinet tak bincang isu Filipina, tetap guna saluran diplomatik

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Jemaah Menteri hari ini tidak membincangkan isu Filipina susulan negara itu meluluskan dua akta baharu yang menyentuh soal tuntutan terhadap Sabah, selain melanggar sempadan maritim negeri berkenaan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata, isu terbabit sudah dijawab oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin di Parlimen semalam.

“Berkait isu yang sudah dijawab oleh Timbalan Menteri Luar, dalam hal ini kita akan ikut proses saluran diplomatik. Tapi Jemaah Menteri tidak membincangkan perkara ini.

“Bagaimanapun, prinsip ditegaskan oleh Perdana Menteri dan juga Menteri Luar (sebelum ini) adalah dalam semangat Asean untuk menyelesai, merungkai masalah dan menggunakan saluran diplomatik,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.

Malaysia semalam menghantar nota bantahan kepada Filipina susulan negara itu meluluskan dua akta baharu yang menyentuh soal tuntutan terhadap Sabah, selain melanggar sempadan maritim negeri berkenaan.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, berkata akta baharu itu juga menetapkan persempadanan baharu Filipina yang melangkaui peta baharu Malaysia yang dibuat pada 1979.

Mengulas lanjut katanya, dua akta baharu terbabit yang dipersetujui Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr ialah Akta Zon Maritim Filipina dan Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top