SAM zahir ucapan takziah buat keluarga Allahyarham Tan Sri Ibrahim Saad

SAM zahir ucapan takziah buat keluarga Allahyarham Tan Sri Ibrahim Saad

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) menzahirkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham Tan Sri Ibrahim Saad yang menghembuskan nafas terakhirnya petang tadi.

Bakti dan jasa Allahyarham terhadap industri sukan tanahair cukup besar terutama ketika menjawat jawatan selaku Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dari 2005 hingga 2007.

“Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Ibrahim Saad Mantan Setiausaha Agung FAM yang meninggal dunia pada 15 November 2024,” kata SAM di laman sosial rasmi persatuan itu.

Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Media FAM, Christopher Raj turut menzahirkan rasa dukacita di atas pemergian tokoh bola sepak negara itu.

“Salam takziah saya ucapkan buat keluarga Allahyarham Tan Sri Ibrahim Saad yang juga mantan Naib Presiden dan Setiausaha Agung FAM yang baharu sahaja meninggal dunia sebentar tadi.

“Semoga Allahyarham dirahmati dan diharap keluarga Allahyarham tabah menghadapi ujian ini,” kata Christopher Raj di laman sosial.

Terdahulu, Bernama melaporkan Allahyarham yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang meninggal dunia pada 6.30 petang tadi di Hospital Pakar Damansara di sini akibat komplikasi pernafasan.

Perkara itu dimaklumkan oleh anak lelaki Allahyarham, Datuk Zairil Ayu Ibrahim di mana bapanya mengalami serangan jantung dan telah menerima rawatan di hospital berkenaan sejak dua minggu lalu.

“Selepas keluar dari hospital baru-baru ini, beliau kelihatan beransur baik namun semalam beliau mengadu sakit sukar bernafas semasa di rumah di Taman Tun Dr Ismail sebelum dibawa ke hospital.

“Beliau cuba diselamatkan tetapi tidak sempat,” kata Zairil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top