am@hmetro.com.my
Shah Alam: Angkara perselisihan faham, seorang lelaki mendakwa dihalau sebelum dipukul individu tidak dikenali dalam kejadian di Dataran Shah Alam, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa berusia 40-an yang juga pemegang kad OKU memaklumkan dia bersendirian dalam kereta di lokasi berkenaan sebelum didatangi suspek.
“Suspek kemudian menghalau mangsa keluar dari kawasan itu sebelum berlaku pertengkaran antara kedua-dua mereka.
“Suspek dipercayai bertindak memukul mangsa dengan tangan sebelum mangsa kemudiannya bertindak membalas pukulan suspek.
“Kejadian itu bagaimanapun dileraikan orang ramai yang berada di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, akibat kejadian mangsa mengalami calar di bahagian lengan kanan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Nor Idayu Abdul Aziz di talian 019-9459062.
Terdahulu, tular rakaman yang memaparkan pergaduhan melibatkan dua individu di kawasan Dataran Shah Alam di sini sebelum kedua-dua individu itu dileraikan orang ramai.
© New Straits Times Press (M) Bhd