najiy.jefri@hmetro.com.my
Kajang: Anak ketiga kepada komposer legenda, Allahyarham Datuk S Atan iaitu Rozaini Hashim memberitahu bapanya pernah meluahkan hasrat supaya dia dapat menjadi penerus legasi sebagai komposer dan penggubah lagu sepertinya.
Bagaimanapun Rozaini atau mesra disapa Dani, 36, berkata, impian itu tidak dapat dipenuhi kerana tidak setanding bapanya.
“Ketika sakit dia pernah luahkan hasrat untuk saya gantikan tempatnya (sebagai komposer). Saya beritahu tidak mampu dan hanya boleh jadi pemuzik seperti sekarang.
“Cuma saya berharap dapat menjadi bapa seperti arwah buat anak-anak saya. Bapa seorang yang bertanggungjawab dan penyayang,” katanya.
Ditanya mengenai kenangan bersama Allahyarham, Dani berkata, mereka berdua pernah bekerjasama untuk sebuah projek lagu baru.
“Sejak kebelakangan ini saya bantu dia buat nota lagu. Arwah akan main piano dan saya akan rakam atau tulis nota lagu. Kemudian saya akan rujuk semula kepadanya. Kalau dia tak suka saya perlu tukar semula.
“Memang agak sukar apabila bekerja dengan bapa sebab dia seorang yang teliti. Dalam bab kerja dia sangat tegas, saya pernah demam sebab perlu tukar susunan lagu pada saat akhir,” katanya.
Mengimbau kembali kenangan waktu kecil, Allahyarham sememangnya memberi galakan kepada anak-anak untuk belajar muzik.
“Dia garang tapi sayangkan anak-anak. Masa saya kecil dia sering ajar saya muzik kemudian saya dihantar ke kelas sebab dia tak sanggup nak marah anak-anak.
“Rasanya dalam hidup dia memang mengenai muzik. Dia tiada hobi lain. Cuma beberapa bulan kebelakangan ini dia suka menonton filem berbahasa Cina,” katanya.
Jenazah S Atan akan dikafan dan disolatkan di Masjid Jamek Bandar Kajang, di sini, esok pagi pada sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, di sini, jam 11 pagi.
S Atan atau nama sebenarnya, Hashim Said, 75, meninggal dunia di kediamannya pada jam 3.52 petang, hari ini akibat komplikasi jantung.
Dani adalah anak hasil perkongsian hidup S Atan bersama isteri, Datin Norizan Yeob.
© New Straits Times Press (M) Bhd



