Sebutan semula kes bunuh tiga pelajar UiTM ditetapkan 17 Disember

Sebutan semula kes bunuh tiga pelajar UiTM ditetapkan 17 Disember

am@hmetro.com.my

Dungun: Pemandu wanita yang didakwa dengan tiga pertuduhan membunuh penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun masih lagi menjalani rawatan dan laporan psikiatri masih belum siap.

Timbalan Pendakwa Raya merangkap Pengarah Pendakwaan Negeri, Azizan Abdullah berkata, pihaknya menerima permohonan daripada pihak hospital untuk melanjutkan rawatan tertuduh.

“Kita masih menunggu laporan perubatan tertuduh, Norizan Ismail, 49, dan tertuduh sebelum ini tidak pernah mempunyai rekod menjalani rawatan psikiatri.

“Oleh itu, pihak hospital memohon satu perintah penahanan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah dilanjutkan untuk menyiapkan laporan penuh kesihatan mental tertuduh,” katanya ketika prosiding sebutan semula kes itu di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Pada prosiding sebutan semula kes hari ini, tertuduh yang tidak dibawa ke mahkamah diwakili peguam, Norhabibah Norulalzahar.

Majistret Nur Amira Fatihah Osman kemudiannya menetapkan 17 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Sebelum ini, tertuduh yang juga ibu kepada tiga anak itu dihadapkan ke mahkamah sama pada 15 Oktober lalu dan didakwa menyebabkan kematian Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Pantai hadapan UiTM Kampus Dungun di sini, pada 9 Oktober lalu, jam 7.35 malam.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berdepan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi empat puluh tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum sebat tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian itu, tertuduh yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV merempuh dua motosikal dinaiki empat penuntut yang sedang dalam perjalanan pulang ke kampus selepas menyertai aktiviti riadah dan makan malam.

Seorang lagi mangsa, Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, pula mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Dungun

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top