norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kajang: Pelakon dan penyanyi, Liza Abdullah, 60, sedih mengenangkan pemergian komposer legenda, Allahyarham Datuk S Atan, 75, yang juga kenalan lamanya selain berkawan rapat dengan balu Allahyarham, Datin Norizan Yeob.
Liza atau nama sebenarnya Norliza Abdullah berkata, persahabatan dengan Allahyarham sudah dijalin sejak era 1980-an lalu ketika dia belum berumah tangga lagi dan pernah menyanyikan lagu ciptaan S Atan.
“Kami dah bersahabat lama dan baik sejak tahun 80-an lagi. Malah, saya kenal arwah pun ketika masih belum berkahwin lagi.
“Balu arwah, Norizan juga sebenarnya adalah sahabat lama saya. Masa zaman muda kami, selalu juga saya bawa Norizan menemankan saya bekerja hingga ke Singapura.
“Secara tak langsung, saya juga yang kenalkan Norizan dengan arwah. Malah, kalau nak tahu arwah juga yang kenalkan saya dengan bekas suami,” katanya kepada Harian Metro ditemui di perkarangan Masjid Jamek Bandar Kajang, di sini, hari ini.
Liza berkata, walaupun dia dan bekas suaminya sudah bercerai, tetapi hubungan baik dan akrab dengan S Atan sekeluarga tidak pernah putus sehingga sekarang kerana saling menghormati.
Liza berkata, Allahyarham adalah permata seni negara yang sangat berharga dan akan dirindui ramai.
“Saya yakin semua penyanyi atau anak seni yang pernah bekerjasama dengan arwah pasti sukar melupakan kebaikan dan sumbangan besarnya di dalam industri seni selama ini.
“Di mata saya, dia sudah macam seorang abang dan dah macam keluarga juga. Saya pula dari dulu memang suka mengusik dan bergurau dengannya walaupun dia seorang yang komited ketika bekerja.
“Masa dia sakit sebelum ini pun, saya sempat menziarahnya dan mengusik dia demi menceriakannya. Tetapi, kalau dia sebagai seorang penerbit dan komposer, memang garang,” katanya.
Liza berkata, bagaimanapun arwah S Atan tetap seorang yang bersikap penyayang terutama bagi penyanyi yang pernah mengenali dan bekerjasama dengannya pasti sangat memahami.
Dalam pada itu, Liza turut menganggap Allahyarham sebagai komposer lagu tempatan yang sangat ‘genius’ dalam menghasilkan karya lagu bermutu dan ‘evergreen’.
© New Straits Times Press (M) Bhd




