Sri Vijaya Puram, India: AirAsia menjadi syarikat penerbangan antarabangsa pertama menawarkan penerbangan terus ke Andaman and Nicobar Islands, bermula 15 November 2024.
Pengarah Urusan AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata, laluan baharu dari Kuala Lumpur itu menandakan usaha berterusan pihaknya untuk terus memperkukuh kehadiran di India.
“Ini adalah pencapaian penting dalam usaha berterusan kami memperkukuh kehadiran di India, antara pasaran terbesar dan paling berkembang bagi AirAsia.
“Visi dan misi kami adalah terus meningkatkan kesalinghubungan dengan tambang berpatutan di seluruh Asia,” katanya pada majlis perasmian penerbangan pertama AirAsia ke Andaman and Nicobar Islands di sini, pada Sabtu.
Andaman and Nicobar Islands ialah wilayah kesatuan India yang terletak di Lautan Hindi, di kawasan selatan Teluk Benggala. Kepulauan ini berada di antara Teluk Benggala dan Lautan Andaman.
Fareh berkata, laluan baharu AirAsia itu juga menyokong sasaran kerajaan India bagi menarik lebih 10 juta pelancong antarabangsa menjelang akhir tahun ini.
Penerbangan sulung AirAsia dari Kuala Lumpur mendarat pada kira-kira 10.30 pagi waktu tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Veer Savarkar di sin, dahulunya dikenali Port Blair iaitu ibu kota Andaman and Nicobar Islands.
© New Straits Times Press (M) Bhd




